Sambungkan Mac anda ke internet
Anda boleh bersambung ke internet daripada Mac anda, sama ada anda di rumah, di tempat kerja, atau di luar. Dua cara yang biasa untuk berada dalam talian ialah dengan menggunakan sambungan Wi-Fi (wayarles) atau Ethernet (berwayar). Jika kedua-duanya tidak tersedia, anda mungkin dapat menggunakan Instant Hotspot.
Gunakan Wi-Fi
Apabila rangkaian Wi-Fi tersedia, ikon Wi-Fi ditunjukkan dalam bar menu di bahagian atas skrin. Klik ikon, kemudian pilih rangkaian untuk disertai. Jika ikon kunci ditunjukkan bersebelahan nama rangkaian, rangkaian tersebut dilindungi oleh kata laluan—anda perlu memasukkan kata laluan sebelum anda boleh menggunakan rangkaian Wi-Fi tersebut. Cara bersambung menggunakan Wi-Fi.
Gunakan Ethernet
Anda boleh menggunakan Ethernet sama ada melalui rangkaian Ethernet atau melalui DSL atau modem kabel. Jika Ethernet tersedia, sambungkan kabel Ethernet ke port Ethernet pada Mac anda, dikenal pasti dengan simbol ini . Jika Mac anda tidak mempunyai port Ethernet terbina dalam, anda boleh menggunakan penyesuai untuk menyambung kabel Ethernet ke port USB atau Thunderbolt pada komputer anda. Cara bersambung menggunakan Ethernet.
Gunakan Instant Hotspot
Jika anda tidak mempunyai akses ke sambungan Wi-Fi atau Ethernet, anda mungkin boleh menggunakan Mac anda dan Instant Hotspot untuk bersambung ke internet menggunakan hotspot peribadi pada iPhone atau iPad anda. Cara bersambung menggunakan iPhone atau iPad anda.
Di rumah, tempat kerja, atau di luar
Apabila anda berada di rumah: ISP anda mungkin menawarkan sambungan internet Wi-Fi atau Ethernet. Semak dengan ISP anda jika anda tidak pasti jenis akses yang mana yang anda ada.
Apabila anda berada di tempat kerja: Anda mungkin mempunyai sambungan rangkaian Wi-Fi atau Ethernet yang tersedia. Semak dengan bahagian IT syarikat atau pentadbir rangkaian anda untuk butiran tentang bagaimana untuk bersambung ke rangkaian tempat kerja anda dan polisi penggunaan.
Apabila anda berada di luar: Anda boleh menggunakan hotspot Wi-Fi (rangkaian wayarles yang terbuka untuk orang awam) atau Instant Hotspot pada Mac anda (jika Mac anda dan pembawa telefon anda menyokongnya). Beringat yang sesetengah hotspot Wi-Fi memerlukan anda memasukkan kata laluan, setuju dengan terma servis, atau bayar yuran untuk menggunakannya.