iBet uBet web content aggregator. Adding the entire web to your favor.
iBet uBet web content aggregator. Adding the entire web to your favor.



Link to original content: https://ms.wikipedia.org/wiki/Renang
Renang - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas Pergi ke kandungan

Renang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Renang

Renang menghuraikan bagaimana haiwan dan manusia menggerakkan diri di dalam air, tanpa bantuan buatan.

Lukisan-lukisan tentang perenang dari Zaman Batu telah ditemui di "gua perenang" berdekatan Sura di Mesir barat daya. Rujukan-rujukan bertulis wujud sejak dari 2000 SM. Pada tahun 1538, Nicolas Wynman, profesor bahasa anak Jerman, menulis buku pertama tentang renang. Renang pertandingan di Eropah bermula pada sekitar tahun 1800, kebanyakannya menggunakan gaya dada. Gaya rangkak depan, ketika itu dipanggil gaya trudgen, diperkenalkan pada tahun 1873 oleh John Arthur Trudgen selepas menirunya daripada orang-orang asli Amerika.

Renang merupakan salah satu acara dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1896 di Athens. Pada tahun 1900, gaya kuak lentang dimasukkan ke dalam sukan Olimpik sebagai suatu acara. Pada tahun 1902, gaya trudgen diperbaik oleh Richard Cavill, menggunakan tendang keribas. Persatuan renang dunia yang pertama, Federation Internationale de Natation, dibentuk pada tahun 1908. Gaya kupu-kupu yang pada mula-mulanya merupakan salah satu kelainan gaya dada diterima sebagai suatu gaya tersendiri pada tahun 1952.

Tubuh manusia terdiri sebahagian besarnya daripada air dan oleh itu, ia mempunyai ketumpatan yang amat serupa dengan air. Lebih kurang 70% daripada tubuh manusia ialah air. Ketika paru-paru diisi dengan udara, ketumpatan tubuh manusia adalah sedikit kurang daripada ketumpatan air di sekelilingnya. Air akan mengenakan daya keapungan pada tubuh manusia dan oleh itu, mengekalkan keapungan hanya memerlukan sedikit dorongan ke bawah, dengan pergerakan melintang hanya memerlukan sedikit dorongan ke arah yang bertentangan dengan pergerakan yang dikehendaki. Pendorongan ini dilaksanakan dengan menggunakan tangan dan lengan sebagai dayung, dan dengan menendang kaki untuk menolak air dari tubuh (walaupun tendangan hanya menghasilkan agak sedikit pergerakan pada keseluruhannya). Oleh sebab air masin (misalnya, air lautan) adalah lebih tumpat berbanding dengan air tawar (misalnya, kebanyakan kolam renang), tidak banyak usaha diperlukan untuk mengapung di dalam air masin, berbanding dengan air tawar.

Sebilangan gaya renang telah diperkembangkan, berdasarkan pelaksanaan sesetengah atau kesemua prinsip yang berikut:

Torso dan kaki harus dikekalkan dalam kedudukan yang selari dengan permukaan air. Kaki yang jatuh atau torso yang condong meningkatkan seretan secara ketara. Tangan harus didepangkan ke hadapan kepala dengan sebanyak yang mungkin supaya dapat memanjangkan panjang purata garis air dan dengan itu, mempercepatkan pergerakan dengan ketara.

Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa daya tangan yang dikenakan pada air sebenarnya dijanakan oleh putaran pinggul, dan bukannya oleh otot lengan. Otot yang menarik lengan di dalam air dipasang seinci dari hujung lengan atas. Dengan lengan sebanyak 21" panjangnya, nisbah tuil ialah 1:20. Ini bermaksud bahawa tarikan otot bahu sebanyak 100 paun hanya menghasilkan 5 paun dayanya di bahagian tangan semasa ia menolak air. Sebaliknya, tork yang dijanakan oleh otot pinggul yang lebih besar dan lebih kuat mengayunkan tangan di dalam air seolah-olah pemain golf atau pemukul bola mengayunkan kayu golf atau kayu pemukul dengan suatu pusingan yang cepat pada pinggulnya. Perenang-perenang elit yang berupaya mencapai suatu tambahan yang sederhana pada pencepatan pinggul mereka akan dapat menambahkan puncak daya tangan sebanyak sekali ganda.

Masa yang dihabiskan pada sisi harus dipanjangkan supaya bahu tidak memecahkan garis air dan mengakibatkan ombak haluan. Ini mengurangkan keratan rentas depan, mengurangkan lagi seretan, serta juga menaikkan nisbah antara panjang and lebar garis air tubuh. Pembaikan yang serupakan boleh dimungkinkan dengan menyebariskan arah kepala, tangan, kaki, dan lengan yang paling sempit ke dalam air. Torso adalah paling penting, berbanding dengan bahagian tubuh yang lain. Pergerakan tangan, lengan, dan kaki dari belakang ke hadapan harus dikekalkan di udara dengan seberapa lama yang mungkin semasa kuak pemulihan. Ketika di dalam air, pergerakan-pergerakan tersebut harus dijajarkan dengan seberapa hidrodinamik yang mungkin kerana anggota yang dikembalikan harus bergerak sekurang-kurangnya dua kali lebih laju berbanding dengan perenang dan di dalam air, akan menjanakan lapan kali seretan (yang meningkat dengan kuasa tiga lajunya), berbanding dengan luas depan torso. Memutarkan bahu juga menambahkan kuasa tarikan dengan menggunakan otot abdomen untuk membantu menarik lengan di dalam air.

"Tangkap" air yang asas tidak sebegitu penting berbanding dengan perkara-perkara di atas. Kebanyakan perenang hanya menangkap air dengan tangan yang rata atau jari-jari yang didepangkan sedikit dan kemudian ditarik dengan lancar pada sepanjang badan. Semua teknik yang tersebut tidak memerlukan kekuatan tambahan. Dengan latihan kekuatan, tangan dan kaki masing-masing boleh dijulurkan dan dilunjurkan lagi ke dalam air untuk menghasilkan lebih banyak dorongan. Untuk mereka yang baru belajar renang, kekuatan yang dinaikkan hanya menghasilkan pembaikan yang kecil jika strategi-strategi di atas (mengurangkan seretan dan memanjangkan garis air) tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Animasi rangka dan dinamik bendalir pengkiraan membenarkan simulasi perenang. Ini membenarkan daya-daya pada sendi dan otot dikira, dan jika simulasi berbilang digunakan, berbagai-bagai gaya atau individu boleh dibandingkan. Melalui grafik komputer atau tangkapan pergerakan, simulasi boleh dibandingkan dengan perenang sebenar. Sedangkan ini menghapuskan banyak keraguan, tekaan masih diperlukan untuk mencipta gaya-gaya yang baru. Merumuskan sebuah buku panduan untuk perenang masih merupakan suatu cabaran kepada para jurulatih renang, dan rasa air masih diperlukan untuk menutup gelung kawalan supaya gaya-gaya renang tidak kemudian menyimpang.

Renang pertandingan

[sunting | sunting sumber]
Temasya sukan renang di Universiti Negeri Ohio.

Tujuan renang pertandingan adalah untuk berenang dengan paling cepat bagi sesuatu jarak yang diberikan. Renang pertandingan menjadi popular pada abad ke-19 dan kini terdiri daripada 34 buah acara, iaitu 17 buah acara bagi setiap jantina. Renang juga merupakan acara yang popular dalam Sukan Olimpik Musim Panas, dengan setiap jantina ahli olahraga masing-masing bertanding dalam 13 buah acara yang diiktirfaf. Acara-acara Sukan Olimpik diadakan di dalam kolam yang 50 meter panjangnya. Badan pentadbiran antarabangsa renang pertandingan ialah FINA (Fédération Internationale de Natation), iaitu Persekutuan Renang Antarabangsa.

Keempat-empat gaya pertandingan dalam Sukan Olimpik ialah gaya kuak kupu-kupu, gaya kuak lentang, gaya kuak dada, dan gaya bebas (gaya rangkap depan). Gaya-gaya itu boleh direnang secara perseorangan atau bersama-sama dalam lumba rampai. Urutan lumba rampai ialah: 1) gaya rama-rama, 2) gaya lentang, 3) gaya dada, dan 4) gaya bebas. Terdapat dua jenis lumba berganti-ganti: lumba rampai dan gaya bebas. Urutan lumba rampai ialah: 1) gaya kuak lentang, 2) gaya kuak dada, 3) gaya kuak kupu-kupu, dan 4) gaya bebas. Setiap empat perenang dalam renang lumba berganti-ganti berenang pada jarak yang tertentu, bergantung kepada jarak keseluruhan lumba berganti-ganti. Ketiga-tiga jarak lumba berganti-ganti ialah 200 meter atau ela, 400 meter atau ela, dan 800 meter atau ela (yang terakhir ini hanya direnang dengan menggunakan gaya bebas). Untuk kolam 50 meter, setiap perenang dalam lumba berganti-ganti berenang dari hujung ke hujung kolam renang bagi lumba 200 meter, dua jarak hujung ke hujung kolam renang bagi lumba 400 meter, dan empat jarak bagi lumba 800 meter. Bagi kolam 25 meter atau ela, setiap perenang dalam lumba berganti-ganti berenang dua jarak bagi lumba 200 meter, empat jarak bagi lumba 400 meter, dan lapan jarak bagi lumba 800 meter. Banyak kolam pertandingan yang bersaiz penuh di Amerika Syarikat adalah 50 meter panjangnya dan 25 ela lebarnya. Ini membenarkan kedua-dua lumba jarak pendek (kolam 25 m atau 25 ela) dan lumba jarak panjang (kolam 50 m) diadakan.

Terdapat beberapa jenis pengadil:

  • pemula yang memulakan perlumbaan;
  • para pengadil pemusingan yang memastikan bahawa pemusingan perenang adalah menetapi peraturan
  • para pengadil renang yang memeriksa gaya renang peserta,
  • para penjaga waktu yang menentukan masa yang diambil oleh para peserta; dan
  • ketua pengadil (bahasa Inggeris: umpire) yang memastikan bahawa segala aspek perlumbaan dikendalikan dengan lancar.

Jika seseorang pegawai menangkap sesiapa antara peserta-peserta yang melanggar peraturan gaya renang, peserta itu akan disingkirkan dan renangnya dianggap tidak sah.

Komuniti-komuniti Amerika Syarikat dan United Kingdom menaja liga-liga renang pertandingan yang terdiri daripada pasukan-pasukan renang kanak-kanak dan remaja. Liga-liga ini sebahagian besarnya menepati peraturan-peraturan renang yang diiktiraf dan berenang dengan gaya piawai, tetapi pada jarak yang lebih pendek, sebagai acara-acara dalam temasya sukan renang. Liga-liga itu yang biasanya bergiat pada bulan-bulan yang lebih panas tidak dikaitkan secara langsung dengan sebarang pertubuhan renang negara atau dunia. Bagaimanapun, perenang-perenang yang memulakan pengalaman renang pertandingan mereka dalam pasukan-pasukan renang tempatan tersebut kekadangnya akan menyertai pasukan peringkat negara.

Renang rekreasi

[sunting | sunting sumber]
Dua buah dok renang.

Tujuan renang yang paling umum adalah sebagai rekreasi. Renang rekreasi dianggap oleh banyak orang sebagai cara melegakan diri serta senaman penuh badan yang baik. Banyak gaya renang adalah sesuai untuk renang rekreasi; kebanyakan perenang rekreasi lebih menyukai gaya yang mengekalkan kepala mereka di atas permukaan air, dengan pemulihan lengan di bawah air. Gaya dada, gaya sisi, dan 'gaya anjing mengayuh' merupakan gaya yang paling biasa digunakan dalam renang rekreasi, tetapi pemulihan lengan di luar air dalam gaya bebas atau gaya rama-rama membekalkan kelebihan yang diberikan oleh perbezaan rintangan antara udara dengan air.

Gaya rama-rama yang terdiri daripada pemulihan di luar air, dengan simetri pergerakan badan yang sama rata, adalah paling sesuai untuk renang di dalam air yang bergelora. Umpamanya, dalam suatu contoh renang ketahanan yang mencipta rekod, Vicki Keith menyeberangi Tasik Ontario yang bergelora dengan menggunakan gaya rama-rama. Kebanyakan renang rekreasi diadakan di dalam kolam-kolam renang yang tenang airnya. Oleh itu, gaya bebas yang tidak begitu berkesan di dalam air bergelora adalah sesuai. Selain daripada kolam renang, tempat-tempat untuk renang rekreasi termasuk pantai, tasik, lubang renang, sungai, anak sungai kecil, dan kekadangnya terusan.

Renang sebagai pekerjaan

[sunting | sunting sumber]

Sebilangan pekerjaan memerlukan pekerjanya berupaya berenang. Umpamanya, juruselam abalone dan mutiara berenang dan menyelam untuk mencari rezeki, sebagaimana dengan pelembing ikan.

Renang digunakan untuk menyelamatkan perenang-perenang lain yang cemas. Terdapat sebilangan gaya renang yang khusus bagi tujuan penyelamatan (sila lihat Senarai gaya renang). Teknik-teknik itu dibelajar oleh para anggota penyelamat dan pengawal pinggir laut. Latihan teknik-teknik itu juga telah berkembang menjadi pertandingan-pertandingan seperti menyelamat nyawa buih ombak.

Renang telah dipergunakan dalam bidang biologi laut untuk mencerap tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan di dalam habitat semula jadi. Bidang-bidang sains yang lain juga menggunakan renang, umpamanya Konrad Lorenz berenang bersama-sama angsa sebagai sebahagian kajiannya tentang tingkah laku haiwan.

Renang juga dipergunakan untuk tujuan ketenteraan. Renang ketenteraan biasanya dilaksanakan oleh para anggota tentera khas seperti Tentera Laut SEAL. Ia dipergunakan untuk mendekati sesuatu tempat, mengumpulkan maklumat perisikan, melakukan sabotaj dan pertempuran, serta untuk meninggalkan sesuatu tempat. Ia juga merangkumi pemasukan ke dalam laut dari udara atau peninggalan kapal selam di bawah air melalui hac atau tiub torpedo.

Renang juga telah menjadi sebuah sukan profesional. Syarikat-syarikat seperti Syarikat Speedo dan Tyr Sports, Inc. menaja perenang-perenang dengan cara yang sama dengan Nike menaja pemain-pemain bola keranjang. Hadiah-hadiah wang tunai juga diberikan untuk memecah rekod dalam banyak pertandingan utama.

Renang untuk bersenam

[sunting | sunting sumber]

Renang ialah sejenis senaman yang cemerlang. Oleh sebab ketumpatan tubuh manusia adalah lebih kurang sama dengan ketumpatan air, tubuh disangga oleh air dan oleh itu, tekanan pada sendi dan tulang dikurangkan. Justeru renang sering dipergunakan sebagai senaman untuk pemulihan selepas kecederaan atau untuk mereka yang mengalami kehilangan upaya.

Renang rintangan merupakan sejenis senaman renang yang bertujuan untuk latihan. Ia mengekalkan perenang dalam kedudukan yang tetap untuk analisis kuak atau untuk membolehkan renang dilakukan dalam ruang yang terbatas atas alasan olahraga atau terapi. Renang rintangan boleh dilakukan baik dengan menentang arus (sering diistilahkan sebagai mesin renang ) mahupun dengan mengekalkan perenang dalam keadaan pegun melalui ikatan-ikatan kenyal.

Renang ialah sejenis senaman aerobik kerana tempoh senaman ini yang panjang memerlukan bekalan oksigen yang tetap kepada otot, kecuali semasa pecutan singkat yang otot berfungsi secara anaerob. Sebagaimana dengan kebanyakan senaman aerobik, renang dipercayai mengurangkan kesan tekanan yang buruk.

Risiko renang

[sunting | sunting sumber]
Sebuah papan tanda yang memberikan amaran kepada para pengembara berjalan kaki di denai yang menuju ke Pantai Hanakapiai.

Renang umumnya dianggap sebagai suatu kegiatan kesihatan yang berisiko rendah, berbanding dengan banyak sukan yang lain. Bagaimanapun, terdapat sebilangan risiko kesihatan renang yang termasuk:

  • Mati lemas dan penyedutan air yang diakibatkan oleh:
    • Keadaan-keadaan air yang buruk yang melanda perenang atau mengakibatkan penyedutan air.
    • Keapungan negatif ketika tersangkut kepada sebuah objek yang berat, umpamanya kapal yang sedang tenggelam.
    • Penolakan orang-orang lain di bawah air, baik secara sengaja mahupun tidak.
    • Keletihan atau ketaksedaran.
    • Ketakupayaan, akibat pitam air cetek, serangan sakit jantung, sinkope sinus karotid atau angin ahmar.
  • Kesan buruk perendaman:
    • Mati lemas sekunder yang diakibatkan oleh sedutan air masin mencipta buih-buih di dalam paru-paru yang menyekat pernafasan.
    • Sindrom Pernafasan Air, SWAS.
    • Kejutan terma selepas terjun ke dalam air yang mengakibatkan denyutan jantung berhenti.
    • Eksostosis yang merupakan pertumbuhan saluran telinga yang tidak normal, akibat mencepuk-cepuk air ke dalam saluran telinga secara kerap dan pada jangka panjang (dikenali sebagai telinga perenang).
  • Pendedahan kepada kimia:
    • Disinfektan klorin menaikkan pH air dan jika tidak dibetulkan, akan mengakibatkan kerengsaan mata dan/atau kulit. [1]
    • Penyedutan gas klorin pada jumlah yang kecil dari permukaan air semasa berenang buat jangka panjang boleh mengakibatkan kesan yang buruk pada paru-paru, khususnya bagi mereka yang menghidap asma. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan kolam yang mempunyai pengudaraan yang lebih baik, khususnya kolam luar.
    • Klorin juga mengakibatkan kesan kosmetik yang negatif selepas pendedahan yang lama dan berulang. Ia menghijaukan rambut perang muda dan menghapuskan segala warna daripada rambut perang supaya menjadi keputih-putihan. Klorin juga merosakkan struktur rambut dan menjadikannya "berkeriting halus".
  • Jangkitan:
    • Air merupakan persekitaran yang cemerlang untuk banyak bakteria, parasit, kulat, dan virus yang menjejaskan manusia, bergantung kepada mutunya.
    • Jangkitan kulit yang berasal daripada bilik-bilik renang dan mandi boleh mengakibatkan kutu air. Cara yang paling mudah untuk mengelakkannya adalah dengan mengering ruang antara jari-jari kaki selepas berenang.
    • Sesetengah parasit mikroskopi seperti Cryptosporidium tahan klorin dan mengakibatkan penyakit cirit-birit apabila para perenang menelan air kolam.
    • Jangkitan telinga, otitis media, (otitis eksterna).
  • Perbuatan perenang sendiri:
    • Kecederaan, akibat berenang berketerlaluan, boleh berlaku. Umpamanya:
      • para peserta pertandingan gaya rama-rama boleh menghidap sakit belakang, termasuk fraktur vertebra (walaupun jarang) serta sakit bahu, akibat latihan bertahun-tahun;
      • para perenang gaya dada boleh menghidap sakit lutut serta sakit pinggul; dan
      • para perenang gaya bebas dan gaya rentang boleh menghidap sakit bahu, sejenis tendonitis yang biasanya dirujuk sebagai bahu perenang.
    • Hiperventilasi dalam percubaan untuk melanjutkan masa di bawah air akan mengurangkan karbon dioksida darah yang mengakibatkan penahanan dorongan untuk bernafas serta kehilangan kesedaran pada akhir junaman. Untuk mekanismenya, sila lihat pitam air cetek.
  • Kesan buruk yang diakibatkan oleh air dan cuaca:
    • Arus, termasuk arus pasang surut dan arus sungai, boleh mengakibatkan keletihan, serta memindahkan perenang dari keadaan selamat, atau menarik perenang ke dalam air.
    • Angin menerukkan ombak dan mengakibatkan perenang tidak mengikut haluan kerana ditiup angin.
    • Hipotermia yang diakibatkan oleh air sejuk boleh dengan cepatnya mengakibatkan keletihan serta ketaksedaran.
    • Selaran matahari boleh diterukkan oleh pantulan di dalam air serta kekurangan pakaian yang dipakai semasa berenang. Pendedahan jangka panjang kepada cahaya matahari boleh menaikkan risiko barah kulit.
  • Barang-barang di dalam air:
    • Kerosakan baling-baling merupakan punca kemalangan yang utama, baik kerana berlanggar dengan kapal mahupun kerana tersangkut ketika memanjat ke dalam kapal.
    • Pelanggaran dengan perenang yang lain, dinding kolam, batu, atau kapal.
    • Terjun ke dalam objek tenggelam, atau ke dasar, seringnya di dalam air yang keruh.
    • Tersangkut pada objek tenggelam, khususnya dahan atau kapal yang ranap.
    • Memijak pada benda yang tajam seperti kaca pecah.
  • Aspek undang-undang
    • undang-undang yang berkait dengan perkara-perkara di atas atau dengan kesopanan (umpamanya renang telanjang)
    • pelanggaran hak pemilikan.

Latihan renang

[sunting | sunting sumber]
Alat-alat bantu renang seperti papan stirofom boleh membantu kanak-kanak belajar berenang.

Kanak-kanak sering diberikan latihan renang yang formal untuk mengembangkan teknik dan keyakinan renang mereka. Secara amnya, mereka tidak berenang secara berasingan sehingga mencapai umur empat tahun. [1]

Di Sweden, Denmark, dan Finland, kurikulum untuk gred lima menyatakan bahawa semua kanak-kanak harus belajar berenang serta bagaimana menangani kecemasan di dalam air. Seringnya, mereka dikehendaki mencapai keupayaan untuk berenang 200 meter (220 ela) — dengan sekurang-kurangnya 50 meter (55 ela) secara berbaring — selepas jatuh ke dalam air yang dalam, dengan kepala mereka di dalam air. Walaupun lebih kurang 95 peratus daripada kanak-kanak sekolah Sweden tahu bagaimana berenang, mati cemas masih merupakan punca kematian yang ketiga paling umum antara kanak-kanak. [2]

Di kedua-dua Belanda dan Belgium, latihan renang semasa bersekolah (schoolzwemmen, renang sekolah) disokong oleh kerajaan. Kebanyakan sekolah memberikan latihan renang. Terdapat tradisi lama latihan renang di Belanda, dengan istilah gaya dada dalam bahasa Belanda membawa pengertian harfiah, "gaya sekolah" (schoolslag ).

Di banyak tempat, latihan renang diberikan oleh kolam renang tempatan yang dikendalikan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan serta syarikat kegiatan senggang swasta. Banyak sekolah juga memasukkan latihan renang ke dalam kurikulum pendidikan jasmani mereka yang diberikan, baik di dalam kolam sekolah sendiri mahupun di kolam renang awam yang terdekat.

Di United Kingdom, "Skim Tambahan" memerlukan kanak-kanak sekolah yang masih tidak berupaya berenang ketika mencapai umur 11 tahun diberikan latihan harian intensif. Mereka yang tidak berupaya berenang 25 meter sebagaimana yang dikehendaki oleh piawai Kurikulum Negara Great Britain ketika menamatkan sekolah rendah akan diberikan latihan setengah jam setiap hari selama dua minggu pada penggal sekolah. [3]

Di Kanada, terdapat seruan untuk memasuki renang ke dalam kurikulum sekolah kerajaan. [4]

Budak-budak lelaki berenang telanjang di dalam sebuah tangki suci di India.

Kesopanan menyebabkan perkembangan pakaian renang (dan pada Zaman Victoria, mesin mandi).

Pakaian renang lelaki berbentuk seluar renang, seluar dalam pertandingan, atau seluar pendek terpotong yang diperbuat daripada apa-apa saja yang ada. Bahagian badan atas hampir selalu tidak ditutup. Bagaimanapun pada awal abad ke-20, Amerika Syarikat mengharamkan perenang-perenang lelaki yang tidak berbaju.

Pakaian renang wanita umumnya berbentuk pakaian terus gaya tradisional atau pertandingan (umpamanya racerback ) atau bikini. Lagi satu pilihan ialah Tankini, pakaian yang lebih konservatif berbanding dengan bikini tetapi masih bukannya pakaian terus.

Bodyskin merupakan pakaian renang penuh badan wanita yang khusus untuk renang pertandingan dan direka semata-mata untuk mengurangkan seretan kulit (sila lihat pakaian renang pertandingan).

  1. ^ Jawatana Pencegahan Kecederaan (2003). "Latihan renang untuk bayi dan kanak-kanak bertatih". Pediatrik & Kesihatan Kanak-kanak. 8 (2): 113–114. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-07-12. Dicapai pada 2007-03-09.
  2. ^ Lindmark, Ulrika. "Tillsyn av simkunnighet och förmåga att hantera nödsituationer vid vatten" (PDF) (dalam bahasa Swedish). Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2006-08-20. Dicapai pada 2006-06-28.CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ "Kanak-kanak yang masih tidak berupaya berenang ketika berumur 11 tahun akan diberikan latihan tambahan". Kumpulan Telegraph Limited. 2006-06-14. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-25. Dicapai pada 2006-07-12.
  4. ^ "Menteri persekutuan menyeru supaya latihan renang sekolah diberikan". CTV. 2005-07-18. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-06-30. Dicapai pada 2006-06-28.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Maniscalco F., Il nuoto nel mondo greco romano, Naples 1993.
  • Mehl H., Antike Schwimmkunst, Munchen 1927.
  • Sprawson, Charles (2000). Haunts of the Black Masseur - The Swimmer as Hero. Percetakan Universiti Minnesota. ISBN 0-8166-3539-0.
  • Tarpinian, Steve (1996). The Essential Swimmer. Percetakan Lyons. ISBN 1-55821-386-4.
  • Cox, Lynne (2005 oleh Buku Harvest). Swimming to Antarctica: Tales of a Long-Distance Swimmer. 2005 oleh Buku Harvest. ISBN 0-15-603130-2. Check date values in: |year= (bantuan)

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]