Hammurabi
Hammurabi | |
---|---|
Kelahiran | c. 1792 SM Babylon |
Meninggal dunia | 1750 SM kronologi sederhana Babylon |
Terkenal kerana | Kod Hammurabi |
Pangkat | Raja Babylon |
Terma | 42 tahun; c. 1792 - 1750 SM (tengah) |
Pendahulu | Sin-Muballit |
Pengganti | Samsu-iluna |
Rakan kongsi domestik | Tidak dikenali |
Anak-anak | Samsu-iluna |
Hammurabi (bahasa Akkad dari bahasa Amorit ʻAmmurāpi, "saudara itu penyembuh", dari ʻAmmu, "saudara sebelah ayah", dan Rāpi, "penyembuh"; (mangkat sekitar 1750 SM) merupakan raja keenam Babylon (dalam Dinasti Pertama Babylon) mulai 1792 SM hingga 1750 SM kronologi sederhana (1728 SM – 1686 SM kronologi singkat).[2] Baginda menjadi raja pertama Empayar Babylon ekoran penurunan takhta ayahandanya, Sin-Muballit, kemudian meluaskan penguasaan Babylon ke atas Mesopotamia dengan memenangi peperangan demi peperangan terhadap negeri-negeri yang berdekatan.[3] Biarpun empayarnya menguasai seluruh Mesopotamia sewaktu kemangkatannya, namun pewaris-pewarisnya tidak mampu memelihara penguasaan baginda.
Hammurabi terkenal kerana menggubal undang-undang Kod Hammurabi, iaitu salah satu contoh undang-undang awam bertulis yang terawal dalam catatan sejarah. Undang-undang ini tertera pada prasasti setinggi lapan kaki (2.4 meter) yang ditemui di negara Parsi pada tahun 1901. Atas baktinya sebagai penggubal undang-undang kuno pada zaman moden, potret Hammurabi terdapat pada bangunan-bangunan kerajaan di seluruh dunia.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Hammurabi merupakan raja Dinasti Pertama di negara kota Babylon, setelah mewarisi tampuk pemerintahan daripada ayahandanya, Sin-Muballit sekitar 1792 SM.[4] Babylon merupakan salah sebuah negara kota kuno yang bertaburan di dataran Mesopotamia dan berperang dengan satu sama lain demi menguasai tanah pertanian yang subur.[5] Biarpun wujudnya pelbagai budaya di Mesopotamia, namun kebudayaan Babylon disanjung tinggi oleh golongan celik huruf di seluruh Timur Tengah.[6] Raja-raja yang memerintah sebelum Hammurabi sudah pun mulai memantapkan penguasaan kawasan tengah Mesopotamia di bawah hegemoni Babylonia. Sewaktu awal pemerintahan Hammurabi, negeri-negeri Borsippa, Kish, dan Sippar telah ditawan.[6] Oleh itu, Hammurabi naik takhta selaku raja negara kecil di tengah keadaan geopolitik yang rumit. Kerajaan Eshnunna yang kuat menguasai kawasan hulu Sungai Tigris sementara negeri Larsa menakluki kawasan delta sungai tersebut. Di sebelah timurnya terletaknya kerajaan Elam. Di utara pula, Shamshi-Adad I sedang berperang untuk meluaskan pengaruh,[7] walaupun kemangkatannya secara tiba-tiba akhirnya memecah-belahkan empayar Semitik yang baru dikuasainya.[8]
Puluhan tahun pertama pemerintahan Hammurabi agak tenteram. Hammurabi menggunakan kuasanya untuk menjalankan kerja-kerja awam, termasuk meninggikan tembok kota untuk pertahanan, serta meluaskan kuil.[9] Pada sekitar 1801 SM, kerajaan Elam yang merentangi laluan perdagangan yang penting merentas Pergunungan Zagros, menyerang dataran Mesopotamia.[10] Dengan sekutu-sekutu di kalangan negeri-negeri dataran, Elam menyerang dan menjatuhkan empayar Eshnunna dengan memusnahkan beberapa buah bandar serta mengenakan penguasaan ke atas sebahagian dataran buat kali pertama.[11] Untuk memantapkan kedudukannya, Elam cuba berperang dengan kerajaan Babylon pimpinan Hammurabi serta kerajaan Larsa.[12] Hammurabi dan raja Larsa berganding bahu dan berjaya menumpaskan kerajaan Elam, biarpun Larsa tidak banyak menyumbang pada usaha perang.[12] Oleh sebab murka dengan kelalaian Larsa menolongnya, Hammurabi berpaling tadah dengan Larsa lalu menguasai seluruh kawasan hilir dataran Mesopotamia menjelang tahun 1763 SM.[13]
Oleh sebab Hammurabi dibantu oleh sekutu-sekutunya dari utara sewaktu berperang di selatan, kekurangan askar di utara menimbulkan huru-hara.[13] Sambil meluaskan pengaruhnya, Hammurabi beralih ke arah utara untuk meredakan huru-hara lalu menumpaskan Eshnunna.[14] Selepas itu, tentera Babylon menakluki negeri-negeri utara yang masih tinggal, termasuk bekas sekutu Babylon iaitu Mari, walaupun barangkalinya 'penaklukan' Mari ini sekadar penyerahan diri tanpa persengketaan.[15][16][17] Dalam beberapa tahun sahaja, Hammurabi berjaya menyatukan seluruh Mesopotamia di bawah tampuk pemerintahannya.[17] Di kalangan semua negeri di kawasan berkenaan, hanya Aleppo dan Qatna di kawasan barat kekal merdeka.[17] Bagaimanapun, sekeping prasasti buatan Hammurabi telah ditemui di Diyarbekir, yang mana beliau menggelar diri sebagai "Raja Amorit".[18]
Ditemuinya sejumlah besar batu bersurat kontrak yang bertarikhkan zaman pemerintahan Hammurabi dan pewaris-pewarisnya, serta 55 pucuk surat tulisan baginda sendiri.[19] Surat-surat ini menyuratkan sekilas pandang pancaroba dalam memerintah sebuah empayar, baik berdepan dengan banjir mahupun menitahkan pembetulan takwim, ataupun menjaga ternakan Babylon yang besar jumlahnya.[20] Sekitar 1750 SM, Hammurabi mangkat dan mewariskan tampuk kuasa kepada anakandanya, Samsu-iluna.[21]
Undang-undang
[sunting | sunting sumber]Hammurabi terkenang terutama sekali kerana mengisytiharkan suatu undang-undang yang baru di Babylon, iaitu Kod Hammurabi. Ini merupakan antara undang-undang bertulis yang terawal di dunia, terukir pada sekeping prasasti dan diletakkan di tempat awam untuk tatapan orang ramai, biarpun dipercayai bahawa tidak ramai yang celik huruf. Prasasti itu kemudiannya dijarah oleh Elam dan dibawa ke ibu kotanya, Susa; ia ditemui semula di situ pada tahun 1901 dan kini disimpan di Muzium Louvre di Paris. Kod Hammurabi mengandungi 282 baris undang-undang yang ditulis oleh katib pada 12 keping batu bersurat. Berbeza dengan undang-undang tempatan yang terdahulu, Kod Hammurabi ditulis dalam bahasa Akkad, iaitu bahasa seharian Babylon, dan oleh itu boleh dibaca oleh sesiapa yang celik huruf di kota itu.[22]
Struktur kanun ini amat terperinci, yang mana setiap kesalahan dikenakan hukuman yang tertentu. Hukuman-hukumannya agak kejam jika dibandingkan dengan zaman sekarang, yang mana banyak kesalahan dikenakan hukuman mati, pencacatan, atau falsafah "mata ganti mata, gigi ganti gigi".[23] Hukum ini juga merupakan salah satu contoh terawal gagasan anggapan ketakbersalahan yang turut menyiratkan bahawa yang tertuduh dan penuduh diberi peluang untuk mengemukakan bukti.[24] Bagaimanapun, tiadanya peruntukan untuk hal keadaan peringan untuk mengubah hukuman yang ditetapkan.
Pusaka dan gambaran
[sunting | sunting sumber]Di bawah pemerintahan pewaris-pewaris Hammurabi, Empayar Babylon dilumpuhkan oleh tekanan daripada tentera Hittite yang menjarah Babylon sekitar 1531 SM (pendek).[25] Bagaimanapun, yang menakluki Babylon pada akhirnya merupakan Kassit yang memerintah Mesopotamia selama 400 tahun, sambil mengekalkan sesetengah unsur kebudayaan Babylon, termasuk undang-undang Hammurabi.
Atas bakti Hammurabi sebagai penggubal undang-undang, gambaran wajahnya terdapat di sesetengah bangunan kerajaan di Amerika Syarikat. Hammurabi adalah salah satu daripada 23 orang tokoh perundangan terkenal yang terukir pada timbulan bes marmar di bilik persidangan Dewan Perwakilan di Kapitol Amerika Syarikat.[26] Juga terdapat sebuah friz oleh Adolph Weinman yang menggambarkan "penggubal undang-undang teragung dalam sejarah", termasuk Hammurabi, di tembok selatan Bangunan Mahkamah Agung Amerika Syarikat.[27]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Ancient Iraq by Georges Roux, Chapter 17 The Time of Confusion p. 266
- ^ See Arnold 2006, p. vii. His date of birth is unknown, see for example, Van De Mieroop 2005, p. 1.
- ^ Beck, Roger B. (1999). World History: Patterns of Interaction. Evanston, IL: McDougal Littell. ISBN 0-395-87274-X. OCLC 39762695. Unknown parameter
|coauthors=
ignored (|author=
suggested) (bantuan)CS1 maint: extra punctuation (link) - ^ Van De Mieroop 2005, halaman 1
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 1–2
- ^ a b Van De Mieroop 2005, halaman 3
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 3–4
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 16
- ^ Arnold 2005, halaman 43
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 15–16
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 17
- ^ a b Van De Mieroop 2005, halaman 18
- ^ a b Van De Mieroop 2005, halaman 31
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 40–41
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 54–55
- ^ Van De Mieroop 2005, halaman 64–65
- ^ a b c Arnold 2005, halaman 45
- ^ Clay, Albert Tobias (1919). The Empire of the Amorites. Yale University Press. m/s. 97.
- ^ Breasted 2003, halaman 129
- ^ Breasted 2003, halaman 129–130
- ^ Arnold 2005, halaman 42
- ^ Breasted 2003, halaman 141
- ^ Review: The Code of Hammurabi, J. Dyneley Prince, The American Journal of Theology Vol. 8, No. 3 (Jul., 1904), pp. 601-609 Published by: The University of Chicago Press Stable URL: http://www.jstor.org/stable/3153895
- ^ Victimology:Theories and Applications, Ann Wolbert Burgess, Albert R. Roberts, Cheryl Regehr,Jones & Bartlett Learning, 2009, p. 103
- ^ DeBlois 1997, halaman 19
- ^ "Hammurabi". Architect of the Capitol. Dicapai pada 2008-05-19.
- ^ [[[:Templat:SCOTUS URL]] "Courtroom Friezes"] Check
|url=
value (bantuan). Mahkamah Agung Amerika Syarikat. Dicapai pada 2008-05-19.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Arnold, Bill T. (2005). Who Were the Babylonians?. Brill Publishers. ISBN 90-04-13071-3. OCLC 225281611.CS1 maint: ref=harv (link).
- Breasted, James Henry (2003). Ancient Time or a History of the Early World, Part 1. Kessinger Publishing. ISBN 0-7661-4946-3. OCLC 69651827.CS1 maint: ref=harv (link).
- DeBlois, Lukas (1997). An Introduction to the Ancient World. Routledge. ISBN 0-415-12773-4. OCLC 231710353.CS1 maint: ref=harv (link).
- Van De Mieroop, Marc (2005). King Hammurabi of Babylon: A Biography. Blackwell Publishing. ISBN 1-4051-2660-4. OCLC 255676990.CS1 maint: ref=harv (link)
Didahului oleh Sin-muballit |
Raja Babylon | Diikuti oleh: Samsu-iluna |