iBet uBet web content aggregator. Adding the entire web to your favor.
iBet uBet web content aggregator. Adding the entire web to your favor.



Link to original content: https://ms.wikipedia.org/wiki/Bendi
Bendi - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas Pergi ke kandungan

Bendi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bendi
kacang lendir
Bendi yang baru tumbuh
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
A. esculentus
Nama binomial
Abelmoschus esculentus

Bendi (Jawi: بيندي), kacang lendir (Jawi: كاچڠ لندير), kacang bendir atau nama saintifiknya Abelmoschus esculentus juga mempunyai nama panggilan lain iaitu 'kacang mior' merupakan tumbuhan berbunga yang menghasilkan s buah yang dimakan sebagai sayuran. Ia banyak ditanam di negara-negara yang beriklim panas lembap seluruh dunia termasuk Afrika, India dan Brazil. [1] Sebelum ini, bendi dikelaskan dalam genus Hibiscus, tapi kini telah ditukar kepada Abelmoschus.

Bendi sesuai ditanam sebagai komoditi komersial dan tanaman keliling rumah dalam pasu atau polibeg sebagai satu program Bumi Hijau.

Catatan terawal menggambarkan tumbuhan bendi ini datang dari seorang penziarah Andalusi di Mesir pada 1216 yang menyaksikan lenggai-lenggai kacang ini dimasak dengan tepung.[2] Tumbuhan ini tersebar ke Timur Tengah melalui Laut Merah terus menuju jazirah Arab. Ia kemudiannya tersebar jauh ke tanah India; ia barangkali diperkenalkan para pedagang India Selatan berdasarkan bukti bahasa menunjukkan peminjaman kata bahasa Tamil untuk sayur ini iaitu வெண்டை veṇṭai atau வெண்டி veṇṭi.[3]

Morfologi

[sunting | sunting sumber]

Pokok herba separa keras ini boleh hidup sepanjang tahun, ia boleh mencapai ketinggian sehingga 4 m sekiranya tidak dicantas. Batangnya agak lembut ketika muda tetapi kemudiannya membulat sederhana keras berwarna hijau gelap serta tegap, tiada mempunyai banyak percabangan dengan bulu-bulu halus di seluruh bahagian. Daun jenis tunggal, susunan berpilin, bersaiz besar, mempunyai 3, 5 atau 7 cuping, tangkai daun sederhana panjang.

Bunga jenis tunggal, saiz sederhana besar, mempunyai kelopak besar berwarna kuning dengan ukuran 4 - 8 cm garispusat. Pendebungaan dilaksanakan oleh serangga seperti lebah, rama-rama, kumbang, semut dan sebagainya. Buah jenis kapsul berbentuk silinder yang meruncing di hujungnya di mana berwarna hijau ketika muda dan bertukar perang apabila telah tua, mengandungi banyak biji. Biji sederhana kecil, berbentuk bulat, berwarna putih semasa muda bertukar kelabu keperangan apabila telah tua. Buah-buah sayur bendi cenderung melendir apabila dipetik sebelum dimasak;[4] lendir tersebut dapat mencair hampir terurai apabila ia dimasak dengan bahan berasid[5] seperti tomato, jus limau atau cuka.

Terdapat 2 varieti bendi yang popular di Malaysia iaitu varieti buah 5-segi dan 7-segi. Pengguna di Selatan Semenajung Malaysia mengemari jenis 5-segi berbanding di bahagian Utara Semenanjung yang minat Bendi 7-segi (Kedah, Pulau Pinang , Perak dan Perlis).

Kandungan

[sunting | sunting sumber]

Buah Bendi didapati kaya dengan 90% air, 7% karbohidrat, 2% protein dan 1% serat, garam galian dan vitamin, terutamanya vitamin B. Bendi paling kaya dengan kandungan kalsium..[6]

Perubatan

[sunting | sunting sumber]

Buah bendi dikatakan elok untuk perkembangan otak iaitu menguatkan daya memori otak dan kecergasan. Dalam bidang perubatan traditional, biji, akar dan bunga bendi direbus dan diminum, mampu untuk melawaskan pembungan air kecil, mengurangkan bengkak atau radang, mengurangkan masalah susah bersalin, mengubati penyakit gornea dan sifilis. Air rebusannya juga sesuai untuk disapu pada pelbagai jenis kudis dan bisul. Air rebusa yang dicampur gula boleh dibuat sirap ubat dan rawatan sakit kerongkong.[6] Manakala lendir ia boleh digunakan sebagai ubat untuk tujuan menyejukkan dan melembutkan kulit.

Biji bendi yang matang juga mempunyai potensi untuk di proses bagi mendapatkan minyak sayuran yang bermutu tinggi dan juga boleh diproses goreng untuk dijadikan bahan minuman sebagai kopi. Daun muda bendi boleh dimakan sebagai sayuran ulaman manakala daun yang tua boleh diproses sebagai bahan kraftangan yang cantik.

Penanaman

[sunting | sunting sumber]

Bendi yang dtanam atas tanah mineral yang subur akan memberikan hasil yang tinggi dengan Amalan Pertanian Baik (APB). Kawasan tanaman perlu dibajak 2 minggu sebelum menanam dan dinaikkan batas-batas menggunakan trektor atau manual. Bubuh kapur sebanyak 2 mt/ha ditabur dan kemudian dibubuh baja organik (tahi ayam) dengan kadar 3-5 mt/ha sebelum ditutup dengan plastik perak dengan anggaran keperluan sebanyak 20 gulung sehektar. Plastik perak ini dapat membantu menjaga kelembapan tanah, meningkatkan kehilangan baja, mengawal serangga perosak dan mengawal rumpai.

Penanaman bendi dibuat dengan membubuh 2 biji/lubang dengan jarak tanaman 1 meter secara 3 segi dalam 2 barisan di atas batas. Keperluan benih sebanyak 1 kg/ha atau kepadatan pokok sebanyak 8,000 pokok/ha dan tinggalkan satu pokok setiap lubang penaman dengan membuat penjarangan. Benih kacang bendi mudah didapati daripada pemilihan pokok yang terpilih dengan membiarkan buahnya matang dan kering pada pokok. Penanaman bendi perlukan sistem pengairan yang sesuai sama ada pengairan Titis atau pengairan renjis. Pokok bendi cepat membesar dengan adanya sistem pengairan yang sempurna.

Pembajaan pertama sebanyak 160 kg/ha (20 gm/pk) dijalankan selepas 2 minggu penanaman dengan NPK 12:12:17.2+TE dan buat penyiraman ikut keperluan. Kawalan rumpai perlu dibuat secara kimia atau manual. Pembajaan seterusnya menggunakan baja buah sebanyak 400 kg/ha (50 gm/pk) sehinggan 6 bulan.

Pertanian setempat

[sunting | sunting sumber]

Bendi yang ada di Malaysia kini dipercayai berasal dari Afrika Tengah dan banyak di tanam di negeri Johor, Perak, Kelantan serta Pulau Pinang. Di Johor sahaja seluas 390 hektar di tanam pada tahun 2008 iaitu daripada jumlah tersebut seluas 90 hektar ditanam di daerah Muar dengan pengeluaran sebanyak 1,620 metrik tan setahun. Bendi banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ia berasal dari sebuah tempat yang kini termasuk dalam Habsyah.

Bendi akan mula berbuah 50-55 hari lepas ditanam dan mampu hidup sehingga 180 hari. Buah bendi yang matang dituai menggunakan pisau tajam dan dikumpulkan dan digredkan sebelum di masukkan dalam bakul buloh atau bakul plastik. Buah bendi yang segar perlu dihantar kepada pemborong atau kedai dengan segera untuk pastikan kesegarannya. Potensi pengeluaran bendi antara 15-20 mt/ha bergantung kepada pengurusan dan amalan teknologi. Kajian analisa ekonomi di Muar mendapati satu hektar bendi mempu menghasilkan 18,000 kg hasil dan jika di jual pada harga RM 0.80 (Purata harga tempatan) bermakna pendapatan kasar sebanyak RM 14,400/hektar. Kos pengeluaran direkodkan sebanyak RM 7,656/ha bermakna keuntungan bersih diterima sebanyak RM 6,744/ha dengan harga pengeluaran setiap kilogram bendi sebanyak RM 0.43 setiap kilogram dan pulangan setiap satu ringgit dilaburkan sebanyak RM 1.88. Penanaman bendi adalah menguntungkan jika dijalankan dengan baik.

Jangka hayat tanaman bendi lazimya tidak lebih 6 bulan.

Perosak dan penyakit

[sunting | sunting sumber]

Antara perosak yang menyerang bendi ialah ulat lipat daun (Sylepta derogata), kepinding buah (Dysderus cingalatus), ulat pengorek buah (Erias fabia) dan siput babi yang dapat dikawal menggunakan racun seperti Carbaryl atau chlorophos atau cypermethrin.

Jenis penyakit pula seperti bintik daun ''Cercospora'' (Cercospora spp) yang boleh dikawal dengan racun Propineb.

Kebanyakan bendi diguna segar sebagai sayuran (segar mentah, rebus atau goreng) dan dibuat jeruk. Biji bendi boleh dibuat serbuk minuman menghasilkan rasa seakan kopi sementara daunnya dijadikan pakan haiwan ruminan dan batangnya diproses jadi serat.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ National Research Council (2006-10-27). "Okra". Lost Crops of Africa: Volume II: Vegetables. Lost Crops of Africa. 2. National Academies Press. ISBN 978-0-309-10333-6. Dicapai pada 2008-07-15.
  2. ^ "Okra, or 'Gumbo,' from Africa". Texas AgriLife Extension Service, Texas A&M University.
  3. ^ Tamadun Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 1989. m/s. 108.
  4. ^ Gemede, H. F.; Haki, G. D.; Beyene, F; Woldegiorgis, A. Z.; Rakshit, S. K. (2015). "Proximate, mineral, and antinutrient compositions of indigenous Okra (Abelmoschus esculentus) pod accessions: Implications for mineral bioavailability". Food Science & Nutrition. 4 (2): 223–33. doi:10.1002/fsn3.282. PMC 4779480. PMID 27004112.
  5. ^ Jill Neimark (5 September 2018). "Leave it to botanists to turn cooking into a science lesson". US National Public Radio. Dicapai pada 26 June 2020.
  6. ^ a b Ong, H.C. (2003) Sayuran: Khasiat Makanan & Ubatan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. ISBN 9-789676-113900

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]


Senarai pokok Pokok mangga
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z