iBet uBet web content aggregator. Adding the entire web to your favor.
iBet uBet web content aggregator. Adding the entire web to your favor.



Link to original content: http://ms.wikipedia.org/wiki/Perestroika
Perestroika - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas Pergi ke kandungan

Perestroika

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perestroika (Rusia: перестройка, [Mengenai audio inipʲɪrʲɪˈstrojkə ]) ialah istilah bahasa Rusia yang memaksudkan pembaharuan mikroekonomi yang dilancarkan pada bulan Jun 1987[1] oleh pemimpin Soviet Mikhail Gorbachev. Erti asal istilah ini ialah "penstrukturan semula", iaitu menyentuh penstrukturan semula ekonomi Soviet.

Rancangan

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun-tahun terawal Mikhail Gorbachev berkuasa (1985-1987), beliau membincangkan pengubahsuaian perancangan pusat, tetapi langsung tidak membuat apa-apa perubahan yang penting (uskoreniye, pemecutan). Kemudian barulah Gorbachev dan sekumpulan penasihat ekonominya memperkenalkan pembaharuan yang lebih besar yang bergelar perestroika (penstrukturan semula ekonomi).

Di sesi pleno Jawatankuasa Pusat Pari Komunis Kesatuan Soviet (CPSU) pada bulan Jun 1987, Gorbachev mengemukakan "tesis=tesis asasnya" yang menyediakan asas politik bagi pembaharuan ekonomi untuk saki-baki riwayat Kesatuan Soviet.

Pada bulan Julai 1987, Soviet Agung meluluskan Undang-Undang Perusahaan Negeri menetapkan bahawa perusahaan milik negara bebas menentukan tahap keluaran berasaskan permintaan dari pengguna dan perusahaan lain. Perusahaan perlu mengikut perintah kerajaan sepenuhnya, tetapi bolkeh melupuskan saki-baki keluaran jika perlu. Perusahaan-perusahaan membeli bahan mentah dari pengedar pada harga kontrak yang terunding. Mengikut undang-undang ini, perusahaan membiayai kewangan sendiri, iaitu perlu menampung kos (upah, cukai, bekalan, dan khidmat hutang) dengan hasil kutipan sendiri. Kerajaan tidak berdaya untuk menyelamatkan perusahaan tidak lumayan yang boleh menghadapi kemuflisan. Akhir sekali, undang-undang berkenaan mengalih penguasaan terhadap pengendalian perusahaan dari kementerian kepada kesatuan kolektif buruh terpilih. Jawatankuasa Perancangan Negara (Gosplan) dipertanggungjawabkan membekalkan garis panduan am dan keutamaan pelaburan negara, bukan merumuskan rancangan pengeluaran terperinci.

Undang-undang Kooperatif yang digubal pada Mei 1988, mungkin merupakan langkah pembaharuan ekonomi paling mendadak pada awal zaman Gorbachev. Buat julung kalinya semenjak Dasar Ekonomi Baru Vladimir Lenin, undang-undang membenarkan pemilikan persendirian bagi perniagaan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan, dan perdagangan luar. Mula-mulanya, undang-undang ini mengenakan cukai tinggi dan had-had guna tenaga, tetapi tidak lama kemudian dikaji semula agar mengelak dari tidak menggalakkan kegiatan sektor swasta. Mengikut peruntukan ini, restoran, kedai, dan pengilang kooperatif menjadi sebahagian persada ekonomi Soviet.

Setem Perestroika, 1988

Gorbachev mengemukakan perestroika kepada sektor ekonomi luar negara Kesatuan Soviet dengan langkah-langkah yang dianggap sebagai tindakan berani oleh ahli-ahli ekonomi Soviet ketika itu. Rancangan beliau terang-terang memecah monopoli yang selama ini dikuasai Kementerian Perdagangan Luar dalam kebanyakan pengendalian perdagangan. Langkah tersebut membolehkan kementerian-kementerian untuk pelbagai cabang industri dan pertanian menguruskan perdagangan luar dalam sektor-sektor bidang kuasa masing-masing tanpa perlu melalui birokrasi pertubuhan kementerian perdagangan. Tambahan pula, pertubuhan-pertubuhan serantau dan setempat serta perusahaan-perusahaan milik negara individu dibenarkan berurusan dalam perdagangan asing. Perubahan ini merupakan satu cubaan menyelesaikan kepincangan yang besar dalam amalan perdagangan luar Soviet, iaitu ketandusan hubungan antara pengguna akhir dan pembekal Soviet dengan rakan-rakan luar negara mereka.

Pembaharuan terpenting yang dilakukan Gorbachev dalam sektor ekonomi luar negara membenarkan warga asing melabur di Kesatuan Soviet dalam bentuk usahasama bersama kementerian, perusahaan milik negara dan kesatuan kooperatif Soviet. Versi asal Undang-undang Usahasama Soviet yang berkuatkuasa Jun 1987, mengehadkan takat perkongsian asing usahasama Soviet pada 49% serta mengehendaki warga-warga Soviet menduduki jawatan pengerusi dan pengurus am. Setelah mendengar rungutan rakan-rakan Barat, maka kerajaan mengkaji semula peraturannya untuk membenarkan milikan dan penguasaan majoriti asing. Mengikut terma-terma Undang-undang Usahasama, rakan Soviet membekalkan tenaga kerja, prasarana, dan pasaran tempatan yang cukup besar. Rakan asing pula menyediakan modal, teknologi, kepakaran keusahawanan, dan selalunya, produk-produk dan perkhidmatan bermutu kompetitif di peringkat sedunia.

Perubahan ekonomi Gorbachev tidak banyak berbuat apa-apa untuk menghidupkan semula ekonomi negara yang lembap pada akhir 1980-an. Apapun, pembaharuan berkenaan ada memencarkan kegiatan-kegiatan ekonomi sampai takat yang tertentu, namun kawalan harga masih dikekalkan, begitu juga sifat matawang ruble yang tak boleh tukar inconvertibility serta kebanyakan kawalan kerajaan terhadap kaedah pengeluaran.

Menjelang tahun 1990, kerajaan seolah-olah sudah hilang kawalan terhadap keadaan ekonomi. Perbelanjaan kerajaan meningkat secara mendadak kerana makin banyak perusahaan tidak lumayan yang memerlukan sokongan negeri dan subsidi harga pengguna diteruskan. Kutipan cukai berkurangan kerana kerajaan republik dan setempat menahan kutipan mereka dari kerajaan pusat atas kebangkitan semangat autonomi rantauan. Penghapusan kawalan pusat terhadap keputusan pengeluaran, terutamanya dalam sektor barangan pengguna, menyebabkan hubungan permintaan dan penawaran lama terganggu tanpa membentuk hubungan baru. Oleh itu, usaha pemencaran kegiatan ekonomi Gorbachev bukan sahaja gagal memperkemas sistemnya, malah mengakibatkan cerutan dalam pengeluaran.

  1. ^ Gorbachev and Perestroika Professor Gerhard Rempel, Department of History, Western New England College, 1996-02-02, accessed 2008-07-12

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]