Perang Byzantine-Sasan 602-628
Perang Byzantine–Sasan 602–628 | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Peperangan Byzantine–Sasan | |||||||
Lukisan Piero della Francesca menggambarkan Pertempuran Nineveh (627) antara tentera Heraclius dan tentera Parsi dipimpin oleh Khosrow II, c. 1452. | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
| |||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
|
Perang Byzantine-Sasan 602-628 merupakan konflik terakhir dan terbesar dalam siri peperangan antara Empayar Byzantine dan Empayar Sasan Parsi. Perang sebelum ini antara dua kuasa besar telah tamat pada tahun 591 selepas Maharaja Maurice membantu Raja Parsi, Khosrow II mendapatkan semula takhtanya. Pada tahun 602, Maurice telah dibunuh oleh pesaing politiknya, Phocas. Khosrow bertindak mengisytiharkan perang seolah-olah untuk menuntut bela atas kematian Maurice. Konflik ini berlarutan selama berdekad-dekad dan medan pertempurannya disaksikan di Mesir, Levant, Mesopotamia, Caucasus, Anatolia, Armenia, Laut Aegea dan bahkan, di hadapan tembok kota Constantinople.
Pada peringkat awal peperangan ini iaitu dari tahun 602 hingga 622, tentera Parsi ternyata lebih unggul apabila mereka dapat menakluk Mesir, Levant, beberapa pulau di Laut Aegea dan sebahagian kawasan Anatolia. Pada tahun 610, Maharaja Heraclius menaiki takhta Byzantine. Walaupun pada awalnya Byzantine dilanda kesukaran untuk berhadapan dengan serangan Parsi, namun ia akhirnya mengubah hala tuju peperangan. Antara tahun 622 hingga 626, kempen Heraclius di tanah Iran telah memaksa tentera Parsi pergi bertahan sehingga pasukan Byzantine dapat mengembalikan semangat berperang mereka. Setelah bekerjasama dengan puak Avar dan Slav, Parsi melakukan serangan terakhir untuk merebut Constantinople pada tahun 626 tetapi mereka semua telah kecundang. Pada tahun 627, Heraclius menyerang dan menembusi wilayah Parsi. Sebuah perang saudara tercetus di Parsi lalu membuatkan kedua-dua kerajaan ini berdamai.
Pada penghujung konflik ini, kedua-dua pihak telah mengalami kerugian sumber manusia dan bekalan yang besar demi menginginkan kemenangan. Akibatnya, kedua-dua negara ini menjadi sasaran kepada kemunculan Kerajaan Khulafa al-Rasyidin yang menyerang kedua-dua kerajaan ini dalam tempoh beberapa tahun setelah peperangan tamat. Tentera Islam dengan pantasnya menakluk semua wilayah Empayar Sasan, mengusir Byzantine dari wilayahnya di Levant, Caucasus, Mesir dan Afrika Utara. Buat selama beberapa kurun berikutnya, kebanyakan wilayah Byzantine dan keseluruhan Empayar Sasan Parsi berada di bawah pemerintahan Islam.
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Sejak Pertempuran Carrhae pada tahun 53 Sebelum Masihi (SM), Rom dan Parsi sering kali berperang sehinggalah satu keseimbangan terhasil sesama mereka. Permusuhan baru antara kedua-dua kerajaan ini bermula pada tahun 571. Kerajaan boneka Empayar Sasan di Arab, Lakhmid telah menyerang Kerajaan Ghasan yang merupakan kerajaan boneka Empayar Byzantine di Arab pada tahun 570. Kemudian, Parsi menceroboh Yaman dan mengusir semua pengaruh Byzantine di sana. Rom pula cuba menjadi dalang kepada pemberontakan menentang Sasan Parsi di kawasan moden Georgia dan Armenia dan akhirnya ia tercetus pada tahun 572. Pada peringkat awal peperangan, Byzantine berjaya mengambil alih kawasan Caucasus Selatan. Namun, pertempuran di Syria tidak menyebelahi pasukan Maharaja Justin apabila tentera Shah Khosrow I bertembung dan menghentikan kemaraan mereka di Nisibis sebelum kawasan strategik Dara ditawan oleh Parsi. Walaupun Parsi telah menarik Armenia untuk kembali memihaknya, semangat untuk berperang secara keseluruhannya telah terpadam pada tahun 582.
Pada tahun 586, Byzantine meraih kemenangan bermakna dalam pertempuran di Solachon. Parsi menyerang lagi dan menguasai Martyopolis. Byzantine dengan pantasnya bertindak balas memenangi pertempuran di Sisauranon dan Sungai Araxes pada tahun 590. Seorang jeneral Parsi bernama Bahram yang tewas dalam pertempuran tersebut berasa sangat marah ekoran beliau telah digugurkan daripada peranannya sebagai jeneral oleh Shah Hormizd IV. Beliau seterusnya melancarkan pemberontakan. Golongan aristokrasi Sasan cuba mematahkan pemberontakan dengan menggulingkan Hormizd dan mengangkat anaknya, Khosrow II untuk menaiki takhta. Walau bagaimanapun, Bahram mara menuju ke ibu kota kerajaan dan merampas kuasa sekali gus memaksa Khosrow untuk melarikan diri bagi mencari perlindungan. Khosrow harus menyerahkan Martyopolis dan Dara semula kepada Maharaja Byzantine, Maurice untuk memperoleh sokongan daripadanya. Hasilnya, Khosrow berjaya mengalahkan Bahram dalam pertempuran di Nisibis dan Blarathon. Kemudian, Khosrow menyerahkan kawasan timur laut Mesopotamia, kawasan moden Armenia dan Georgia kepada Byzantine. Buat pertama kali, dua kerajaan besar telah menjadi satu sekutu dan Byzantine tidak perlu menjalankan sebarang pembayaran ufti. Perkara ini membolehkan Maurice memberi perhatian terhadap situasi yang semakin meruap di Balkan.
Perang
[sunting | sunting sumber]Penguasaan Parsi
[sunting | sunting sumber]Perang yang berlarutan ini telah menjejaskan Empayar Byzantine. Harta dan barangan mewah di Constantinople berkurangan menyebabkan maharaja akhirnya terpaksa bertindak memotong upah gaji askar dan ia telah menjerumus kepada banyak pemberontakan. Salah seorang pemimpin tentera tersebut yang bernama Phocas telah diisytiharkan sebagai maharaja oleh tentera-tenteranya lalu mereka semua berarak dan mara menuju ke ibu kota. Maurice gagal untuk mempertahankan takhtanya dan beliau kemudian ditangkap dan dibunuh. Gabenor Mesopotamia iaitu Narses menentang Maharaja Byzantine baru, Phocas dan beliau telah meminta Khosrow II untuk membantunya. Shah Parsi menganggap Maurice merupakan sekutunya dan kematiannya itu digunakan sebagai helah untuk menguasai semula Armenia dan Mesopotamia. Phocas seterusnya mengirimkan satu pasukan untuk merebut kembali wilayah itu pada tahun 605 tetapi pertempuran yang berlaku berhampiran kota Dara telah dimenangi oleh Parsi dan mereka berjaya menawan kota itu semula.
Pada tahun 608, keadaan menjadi lebih parah bagi Phocas apabila seorang Gabenor Afrika, Heraclius juga melancarkan pemberontakan segera disertai oleh Syria dan Palestin. Sasan memanfaatkan pergelutan dalaman Byzantine untuk menakluk Mardin, Amida, Edessa, Theodosiopolis dan bahkan beberapa kali menyerang Bithynia. Heraclius telah menguasai Mesir pada tahun 610 dan ia telah dijadikan sebagai markasnya. Beliau melancarkan serangan ke atas Constantinople dan merampas takhta Byzantine. Pemerintah Byzantine baru itu menjangkakan Parsi akan berhenti berperang kerana mereka sudah tidak mempunyai casus belli lagi. Namun, ia sudah terlalu lewat apabila Khosrow telah menguasai Caucasus dan Mesopotamia. Khosrow yakin bahawa beliau semakin menghampiri kemenangan muktamad dan akan mengulangi zaman kegemilangan Empayar Achaemenid. Walaupun Heraclius berusaha dengan sehabis baik, kota Caesarea telah dibakar oleh Parsi pada tahun 612 dan mereka berjaya melepaskan diri.
Heraclius memutuskan beliau akan memimpin tenteranya sendiri semasa kerajaannya semakin tunduk kepada Parsi. Pada tahun 614, kota Damsyik, Emesa dan Jerusalem telah ditawan oleh Parsi. Kejatuhan kota suci itu ke tangan musuh sangat memedihkan kerana Gereja Makam Suci telah dibakar, "True Cross" dan relik-relik lain dirampas. Masyarakat Byzantine tentunya sengsara melihat relik-relik dirampas, dibakar dan kota suci mereka akhirnya ditawan musuh. Maharaja Heraclius juga berhadapan dengan masa yang sukar untuk merekrut tentera-tentera baru kerana kejatuhan Jerusalem dikira sebagai tanda kemurkaan tuhan.
Pada tahun 615, Sasan mengepung kota Chalcedon yang hanya terletak kira-kira beberapa kilometer dari Constantinople. Pada tahun 617, Chalcedon jatuh ke tangan Parsi dan dijangka Heraclius telah bersedia untuk bernaung di bawah Khosrow. Sumber-sumber menyatakan beberapa bulan berikutnya telah memperlihatkan permulaan serangan Sasan ke atas Mesir. Pada tahun 621, wilayah Mesir merupakan sebahagian daripada Kerajaan Sasan buat pertama kali. Kemudian pada tahun 622, pertempuran di Anatolia terus berlangsung dan kawasan tengah semenanjung juga bertukar tangan apabila kota Ancyra jatuh ke tangan Parsi. Bahkan dalam pertempuran di lautan yang merupakan satu kepakaran bagi pihak Byzantine agak dikejutkan kerana Rhodes dan beberapa buah pulau di Laut Aegea dikuasai Parsi pada tahun 622.
Serangan balas Byzantine
[sunting | sunting sumber]Walaupun musuh melancarkan serangan yang dahsyat, Heraclius dapat merencanakan serangan balas pada tahun 622 bersama dengan angkatan tentera Byzantine yang diperbaharui. Beliau mara ke Cappadocia dan mengancam garis bekalan tentera Sasan yang berada di Galatia. Hal ini telah memaksa tentera Sasan berundur bagi menghalang kemaraan tentera Byzantine menembus masuk ke dalam wilayah Parsi. Pertempuran yang terjadi di Cappadocia tidak terlalu terperinci tetapi difahamkan Heraclius telah memenangi pertempuran tersebut. Setelah pasukannya mengesan dan menjejaki serangan hendap Parsi, pasukan Byzantine menggunakan helah berundur secara berpura-pura dan mengheret tentera Parsi menuju ke lokasi yang dirancang dan sesuai untuk melakukan serangan balas semula.
Sasan telah berjaya dibawa keluar dari Anatolia tetapi ancaman puak Avar di Balkan telah memaksa Heraclius kembali ke Constantinople. Beliau menawarkan rundingan damai tetapi beliau telah diserang secara mengejut oleh Avar lalu mendesak beliau melarikan diri ke ibu kota. Akhirnya, puak Avar bersetuju untuk membawa tebusan dan menerima ganjaran besar sekali gus membolehkan Byzantine dapat bertumpu terhadap ancaman Parsi semula. Heraclius sekali lagi mengajukan rundingan damai kepada Khosrow pada tahun 624 tetapi ia telah ditolak dan Maharaja Byzantine itu merangka satu serangan baru.
Tentera Byzantine berjumlah 30,000 telah menawan Caesarea dan mara menuju ke kawasan moden Armenia dan Azerbaijan untuk menyerang wilayah pegangan Parsi. Tentera Khosrow yang memiliki kekuatan seramai 40,000 telah bertembung dengan mereka berhampiran Gazaca. Maklumat mengenai pertarungan tersebut sangat terhadap tetapi kemenangan berpihak kepada Byzantine. Heraclius memusnahkan kuil Majusi yang terkenal sebagai langkah membalas dendam atas kemusnahan yang berlaku di Jerusalem. Shah Khosrow tidak senang akan kehadiran tentera Byzantine di wilayahnya lalu beliau telah menghantar tiga buah pasukan kecil untuk menyekat dan menghalang sebarang kemungkinan pengunduran tentera Byzantine. Pasukan Khosrow ini juga ditugaskan untuk memerangkap musuh di antara kawasan-kawasan pergunungan di Parsi. Maharaja Heraclius berjaya membuat helah terhadap tentera Sasan lalu menewaskan dua buah pasukan musuh. Sisa tentera Sasan bergabung menjadi sebuah pasukan tunggal sementara tentera Byzantine sedang menyeberangi Sungai Araxes.
Memasuki tahun 625, tentera Parsi sekali lagi cuba menghendap tentera Heraclius di Aliovit tetapi Heraclius tidak mempedulikan serangan tersebut sebaliknya beliau menyerang kem musuh untuk menyelerakkan tentera-tentera musuh. Tentera Byzantine menghabiskan waktu musim sejuk di utara Tasik Van sebelum mereka berhasil menawan kubu penting di Amida dan Martyropolis pada musim bunga. Pada awal musim panas, Heraclius dapat memenangi pertempuran lain berhampiran Sungai Sarus. Semua tenteranya yang penat dan letih berperang kemudiannya berehat dan menghabiskan musim sejuk di Trebizond.
Khosrow dilihat semakin mundur apabila beliau sering mengalami kekalahan menentang Byzantine. Jadi pada tahun 626, beliau telah merekrut dua buah pasukan tentera. Satu pasukan ditugaskan untuk mempertahankan kerajaan Parsi manakala satu pasukan lagi diarahkan untuk menyerang kota Constantinople. Pasukan kedua mempunyai jumlah kekuatan seramai 50,000 orang dan terus mara menuju ke Constantinople tanpa bertembung dengan tentera Heraclius di Anatolia. Pada masa yang sama, Sasan telah bekerjasama dengan puak Avar dan sekutu barunya itu berjanji untuk turut serta menyerang Constantinople. Gabungan tentera Parsi dan Avar mula menyerang Constantinople pada 29 Jun 626. Heraclius mengirim sebahagian daripada pasukannya untuk menyerang tentera Sasan yang berada di Constantinople dari arah belakang lalu dengan mudahnya Sasan berjaya ditewaskan pada bulan Ogos. Dalam berada keadaan yang ketakutan, Avar berundur ke Balkan dan ibu kota kerajaan Byzantine sekali lagi telah selamat.
Heraclius juga telah berjaya menghasut jeneral Parsi, Shahrbaraz untuk berpaling tadah dan menentang Shah Parsi. Selain itu, Maharaja Byzantine itu telah memasuki pakatan dengan Kekhanan Turk Barat. Pada tahun 627, pakatan ini menyerang wilayah Sasan dengan angkatan seramai 40,000 tentera. Heraclius seterusnya mengejutkan pihak Sasan apabila beliau mara menembusi ke dalam wilayah Parsi pada musim sejuk tahun 627. Pasukan Parsi yang terakhir cuba menghentikan kemaraan Byzantine berhampiran Nineveh tetapi sekali lagi perincian mengenai pertempuran tersebut agak terhad. Namun, diketahui bahawa tentera Heraclius melebihi tentera Sasan sekurang-kurangnya dua atau tiga kepada satu secara nisbah. Dalam pertempuran tersebut, dikatakan bahawa Heraclius telah dicabar oleh tiga pahlawan Parsi dan beliau menyahut cabaran tersebut. Beliau berjaya mengalahkan musuhnya itu dalam setiap pertarungan satu demi satu. Akhirnya, Byzantine telah menewaskan 6,000 tentera musuh pada hari itu.
Nasib malang menimpa Khosrow apabila pemberontakan dalaman telah menggulingkannya dan anaknya sendiri diangkat menaiki takhta. Shah yang baru iaitu Kavadh II menuntut perdamaian pada tahun 628 dan Heraclius bersetuju sepenuhnya oleh kerana empayarnya semakin lemah. Kesemua tanah kepunyaan Byzantine yang dirampas telah dipulangkan bersama dengan semua tahanan perang. Sasan bersetuju untuk membayar pampasan perang dan akhirnya memulangkan semua relik yang dirampas di Jerusalem.
Kesan
[sunting | sunting sumber]Peperangan ini jelas sama sekali tidak mendatangkan keuntungan atau penguasaan ke atas tanah-tanah baru. Konflik ini hanyalah menerjah ke arah kemusnahan dan kebinasaan sendiri. Pada tahun 629, Kerajaan Khulafa al-Rasyidin melanggar sempadan Byzantine dan Sasan. Dalam tempoh masa pendek selama 25 tahun, kerajaan Muslim telah menghancurkan Empayar Sasan dan membataskan Empayar Byzantine sehingga ke kawasan Anatolia.
Nota
[sunting | sunting sumber]^ a: Kesemua tarikh terutamanya 602–620 hanyalah satu anggaran. Hal ini demikian kerana banyak sumber-sumber utama seperti Hikayat Theophanes yang diputuskan dari sumber yang sama dan ia difikir sebagai satu sejarah oleh Theophilus dari Edessa. Jadi, terdapat sedikit saksi untuk peristiwa-peristiwa tersebut menjadikan pentarikhan lebih sukar.[7]
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Dignas, Assistant Professor of History Beate; Dignas, Beate; Winter, Engelbert (2007). Rome and Persia in Late Antiquity: Neighbours and Rivals (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. m/s. 148. ISBN 9780521849258.
- ^ Baynes, Norman H. (1912). "The restoration of the Cross at Jerusalem". The English Historical Review. 27 (106): 287–299. doi:10.1093/ehr/XXVII.CVI.287. ISSN 0013-8266.CS1 maint: ref=harv (link)
- ^ Encyclopaedia Iranica "After concluding a hasty peace with Heraclius (as the result of which all Sasanian territorial gains were given up and the “true cross” restored; Nicophorus, p. 14; Theophanes, pp. 272-73; Chronicon Paschale, p. 14)"
- ^ Dignas, Assistant Professor of History Beate; Dignas, Beate; Winter, Engelbert (2007). Rome and Persia in Late Antiquity: Neighbours and Rivals (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. m/s. 150. ISBN 9780521849258.
- ^ a b McNabb, James Brian (2017). A Military History of the Modern Middle East (dalam bahasa Inggeris). ABC-CLIO. m/s. 10. ISBN 9781440829642.
- ^ Pourshariati (2008), p. 142
- ^ name="frontier182"