Kontroversi novel Interlok
Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain menjadi kontroversi yang berkenaan dengan hubungan sesama kaum di Malaysia setelah diperkenalkan sebagai bahan bacaan wajib dalam Komponen Sastera (KOMSAS) Bahasa Malaysia Tingkatan Lima di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.[1], kerana isi kandungannya didakwa mengandungi anasir-anasir yang boleh menyinggung sensitiviti sesama kaum di Malaysia.
Isu ini nampaknya mendapat perhatian terbesar dari masyarakat India di Malaysia, tetapi tindakan memilih novel ini juga menerima bantahan dari orang Melayu dan Cina. Kongres India Malaysia turut memujuk kerajaan supaya menggugurkan novel itu sahaja daripada sukatan pelajaran. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran pada mulanya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai sama ada buku itu boleh digunakan lagi sebagai komponen sastera. Apabila buku itu tetap diluluskan oleh jawatankuasa itu pada Januari 2011, bantahan terhadap buku itu semakin kuat dan menjadi-jadi, sehingga mencetuskan tunjuk perasaan di jalanan.
Tetap dengan pendirian untuk mengharuskan penggunaan novel Interlok, Kementerian Pelajaran melantik sebuah panel yang dianggotai oleh pelbagai kaum untuk menyunting isi kandungan supaya tidak menyinggung perasaan sesama kaum. Tindakan itu dibantah oleh Persatuan Penulis Nasional dan beberapa pertubuhan sasterawan yang lain yang menyifatkannya sebagai bentuk penapisan yang boleh menggugat kebebasan ekspresi pengkarya.
Isu yang dibantah
[sunting | sunting sumber]Pemilihan novel Interlok sebagai bacaan komponen sastera Tingkatan Lima untuk "Zon 2" (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan) menerima bantahan hebat dari sesetengah masyarakat bukan Melayu di Malaysia yang tidak puas hati kerana mendakwa bahawa buku ini menggambarkan kaum bukan Melayu dengan perihal-perihal yang berbau stereotaip negatif dan dikhuatiri boleh mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga meruntuhkan perpaduan sesama kaum di Malaysia.[2]
Novel Interlok menerima tentangan paling hebat dari pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum India di Malaysia atas keluhan bahawa isi kandungannya ada kata-kata persendaan dan ungkapan stereotaip yang memaksudkan golongan India. Salah satu unsur yang mendapat perhatian terbanyak berkenaan dengan golongan India ialah terungkitnya istilah "paria"[3] iaitu pangkat terendah dalam sistem kasta yang diamalkan oleh tamadun India pada zaman silam, dalam beberapa muka surat buku ini. Kata A Vaithiyalingam, bekas presiden Hindu Sangam, sesetengah isi menggambarkan orang India sebagai "kotor" dan "tidak pandai menjadi suami".[4] Oleh itu, novel ini dibantah kerana dikhuatiri boleh mempengaruhi anak muda bukan India untuk memandang hina masyarakat India. Ketua Pemuda MIC, T. Mohan memberi amaran bahawa semangat 1Malaysia akan luntur jika novel ini diharuskan.[4]
Isu penggunaan kata-kata yang menyinggung perasaan kaum dalam novel Interlok juga dikaitkan dengan sebuah novel Amerika Syarikat abad ke-19, The Adventures of Huckleberry Finn karya Mark Twain yang turut disuratkan kata-kata yang menghina kaum bukan putih, seperti "nigger" (Orang Afrika Amerika) dan "injun" (Orang asli Amerika), menyebabkan ia diharamkan oleh Persatuan Perpustakaan Amerika daripada digunakan dalam perpustakaan pada zaman sekarang.[5]
Bukan sahaja golongan India yang membantah novel Interlok sebagai bahan komponen sastera, malah novel ini turut menerima tentangan dari sesetengah golongan Cina. Pengerusi Belia Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Ng Chong Soon, menuduh tindakan penggunaan novel Interloksebagai cara parti berasaskan kaum seperti UMNO untuk menyebarkan agenda politiknya yang boleh memecahbelahkan perpaduan sesama kaum, dengan memilih buku yang mencerminkan kaum Cina sebagai kaum pendatang yang "tamak dan penipu".[6]Ketua Centre for Policy Initiatives, Lim Teck Ghee, turut menyeru supaya buku yang berisi "stereotaip yang menyinggung perasaan kaum minoriti" itu digugurkan serta-merta.[6]
Bantahan kaum India dan Cina terhadap penggunaan novel Interlok juga menerima reaksi serba kehairanan dari golongan Melayu yang tertanya-tanya mengapa hanya baru-baru ini kedengaran tentangan sedangkan buku ini sudah wujud di pasaran selama sekitar 40 tahun[7], walaupun ada juga orang Melayu yang membantah penggunaan buku ini dalam komponen sastera. Pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang India juga mengatakan bahawa novel Interlok tidak boleh dipandang sebagai permasalahan orang India sahaja kerana ia mengandungi unsur-unsur yang menghina ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India sekali.[8]
Istilah "paria"
[sunting | sunting sumber]Pengkaji sastera, Dr Fatimah Busu, menyatakan bahawa Interlok merakamkan hakikat kedatangan imigran dari India dan China pada sejarah negara ini peringkat moden, iaitu 1900-an sebagai golongan pekerja selepas kedatangan awal dari kasta Brahmana yang membangunkan kuil di Angkor Wat, Kemboja; Borobudurdi Jawa Tengah, Indonesia dan Langkasuka di Tanah Melayu. Realiti kasta di India sebenarnya diperincikan dalam banyak karya seperti Kanthapura karya Raja Rao; A Passage to India (EM Foster);Nectar in a Sieve dan A Handful of Rice (Kamala Markandaya); The Sweet Vendor (RK Narayan) dan antologi cerpen Stories from India. Novel Untouchable karya Mulk Raj Anand telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sjahrudin dengan judul Paria dan diterbitkan oleh Oxford Universiti Press pada 1964. Novel Untouchable merupakan adikarya fiksyen India , telah dijadikan sebagai teks di universiti sejak 1979 hingga 1986 dan 1993 hingga 1997.[9] Malahan filem Slumdog Millionairepada 2008 yang memenangi lapan Anugerah Oscar dan 100 anugerah dalam pelbagai festival dan anugerah filem adalah memaparkan kisah golongan miskin ini tanpa sebarang kontroversi. Konsep pariah juga digambarkan dalam kitab Hindu, Manu Smirti yang termasuk perintah menkasi lelaki kasta rendah yang berani bergaul dengan wanita kasta lebih tinggi.[10], tanpa sebarang bantahan oleh orang India.
Peristiwa
[sunting | sunting sumber]Penggunaan novel Interlok dalam Komponen Sastera Bahasa Malaysia Tingkatan Lima mendapat tentangan hebat sejak tahun 2011 membuka tirai, khususnya daripada masyarakat berketurunan India di Malaysia yang diwakili oleh pelbagai pertubuhan. Mula-mula, Kongres India Malaysia (MIC) menggesa supaya menarik balik buku itu atau menggugurkan isi-isi kandungan yang menyentuh sistem kasta dalam buku itu[11], ataupun sekurang-kurangnya perkataan "pariah" digugurkan sahaja.[12] Presiden MIC, G. Palanivel, menggesa penarikan buku itu kerana tidak sejajar dengan semangat 1Malaysia.[13] Parti Progresif Penduduk, sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional yang banyak dianggotai oleh kaum India, turut membuat tuntutan supaya buku itu ditarik balik.[14]
Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapat 27 aduan daripada masyarakat India yang tidak puas hati dengan novel itu. [15] Selepas bertemu dengan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran, mereka bersetuju membawa usul kepada Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan sama ada unsur sensitif itu di buang atau mengharamkan novel itu.
Oleh itu, Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula penggunaan novel Interlok itu pada 6 Januari 2011, sama ada buku itu harus ditarik balik atau dikekalkan dengan pindaan.[16] Pada 27 Januari, diumumkan bahawa novel Interlok kekal sebagai buku teks komponen sastera Tingkatan Lima, tetapi dengan beberapa pindaan terhadap kandungan yang didapati menyinggung itu.[17] Sebuah panel bebas ditubuhkan pada 16 Februari untuk mengkaji dan membuat usul pemindaan kandungan Interlok dalam masa sebulan.[18] Pada 8 Januari 2011, kira-kira 100 penduduk di Klang membakar poster novel Interlok dan gambar Abdullah Hussain. Turut hadir dalam demonstrasi itu ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.[19]
Persatuan Penulis Nasional (Pena) menerusi Setiausaha Agungnya, S. M. Zakir bimbang dengan polemik itu. Pada 8 Januari 2011, di rumah Pena, Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad menyatakan Pena kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan sebarang pindaan terhadap novel itu. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Dr Datuk Mohamad Ali Hassan. Gapena juga pada umumnya tidak setuju dengan pindaan dan menyokong kebebasan pengarang untuk menulis novel.[20]
Keputusan mengekalkan penggunaan novel Interlok dibantah kuat oleh ramai dari golongan India, umumnya atas sebab bahawa kaum India digambarkan dengan sifat-sifat negatif dalam buku ini. Sebaik sahaja panel pemindaan novel Interlok diumumkan, Persatuan Hindu Sangam Malaysia mula-mula meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan itu.[21] Wakil-wakil rakyat yang berketurunan India menerima gesaan supaya memulaukan panel itu.[22] Antara yang terus membuat tuntutan supaya buku Interlok ditarik balik ialah segugusan lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan yang bergabung di bawah nama Pasukan Bertindak Interlok Kebangsaan (National Interlok Action Team, NIAT), yang mengugut bahawa mereka akan mengantarabangsakan isu Interlok sekiranya Kementerian Pelajaran enggan menarik balik novel itu.[23]
Tidak ketinggalan juga dalam pembantahan novel Interlok adalah Parti Hak Asasi Manusia yang mengadakan tunjuk perasaan serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pada 13 Februari 2011, yang menyaksikan seramai 58 orang ditahan.[24] Ini disusuli oleh tunjuk perasaan anjuran HINDRAF pada 26 Februari 2011, di sekitar perkarangan KLCC yang bertujuan bukan sahaja untuk membantah novel itu, bahkan mengecam pemerintahan UMNO yang 'rasis'.[25]
Pada 17 Mac 2011, sumber berita menyiarkan bahawa panel khas Interlok itu gagal menyelesaikan tugasnya dan didakwa sudah bubar pada 4 Mac, apabila tiga orang ahli berketurunan India menarik diri daripada panel tersebut.[26] Ujar Uthaya Sankar SB, salah seorang ahli panel India itu, beliau bersama dua rakannya, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan, meninggalkan panel itu kerana berasa dikhianati.[27] Akan tetapi, kenyataan itu disangkal oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhujah bahawa mereka bertiga itu belum mengundurkan diri tetapi sekadar mengalami salah faham.[27] Ekoran itu, ahli parlimen Klang, Charles Santiago membidas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyifatkannya tidak lagi boleh dipercayai bagi menangani isu Interlok kerana panel bebas itu telah "hilang legitimasinya".[28]
Menurut wakil-wakil India yang menganggotai panel itu, pihak mereka telah mencadangkan supaya 106 perkara dipinda dalam novel itu[29], tetapi pada awalnya, Kementerian Pelajaran hanya menerima 19 pindaan tersebut, termasuk pengguguran perkataan "pariah"[30][31], tiga perkara yang menyentuh sistem kasta[30][31], dan ungkapan "orang berkulit hitam"[30][31]; penukaran istilah "tuhan" kepada "dewa"[30][31]. Tambah Tan Sri Muhyiddin Yassin, "Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai."[30][31] Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan bahawa panel tersebut bersetuju supaya tujuh perkara disisipkan errata untuk "membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India."[30][31] Dengan pindaan itu, Kementerian Pendidikan tetap dengan pendirian supaya novel Interlok digunakan sebagai bahan bacaan Komsas Tingkatan 5.[30][31]
Biarpun selepas pindaan itu, penggunaan novel Interlok dalam sekolah tetap dibantah oleh Pasukan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT). Menurut Pengerusi NIAT, Dato Haji Thasleem Mohamed, novel Interlok yang dipinda itu bercanggah dengan ajaran Islam kerana masih terdapat bahagian yang bertentangan dengan ajaran al-Quran yang melarang umat daripada "mencemarkan dan mengaibkan puak lain serta memberikan panggilan yang buruk kepada orang lain."[29] Pihak NIAT juga dilaporkan mengancam untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat selaku barisan pembangkang Malaysia sekiranya buku itu tidak ditarik balik dari sukatan pelajaran. Jelas Thasleem lagi, "Saya dari awal sudah beritahu semua orang, kita tidak mahu mempolitikkan isu ini, tapi jika kerajaan tidak ambil tindakan sewajarnya, kita mungkin terpaksalah mengadakannya, bukan dengan Pakatan saja, sesiapa panggil pun kita pergilah."[32]
Peleraian
[sunting | sunting sumber]Pada Disember 2011, tidak lama sebelum musim persekolahan 2012, kerajaan akhirnya mengumumkan penarikan balik Interlok daripada sukatan pelajaran komponen sastera.[33]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Interlok: TPM hanya minta senarai pendek elemen sensitif, kata panel bebas Diarkibkan 2011-03-18 di Wayback Machine, The Malaysian Insider, 17 Mac 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ Interlok: Time To Make A Stand, Malaysian Mirror, 18 Mac 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ Interlok, interlok-o-phobia dan sauberung sastera, Utusan Malaysia
- ^ a b http://www.freemalaysiatoday.com/2011/01/06/najib-tun-razak-muhyiddin-yassin-t-mohan-mic-youth/ Diarkibkan 2011-03-16 di Wayback Machine Indian anger mounts over Interlok], Free Malaysia Today, 6 Januari 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ CONTROVERSY:Censoring literature, New Straits Times, 20 Feb 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ a b a classic work of Malaysian racism'[pautan mati kekal], Malaysiakini, 24 Feb 2011. Dicapai pada 25 Feb 2011.
- ^ "Interlok: T. Murugiah tidak perlu melatah",Utusan Malaysia
- ^ NGOs: Interlok insults Malays and Chinese, too, The Star, 3 Mac 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ "Dialog anjuran PENA pertahan novel karya Abdullah Hussin secara intelektual, sejarawi"[pautan mati kekal]
- ^ The pariah and the pundict.
- ^ "Malaysian textbooks sparks anger". AFP. 5 Jan 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "Interlok: MIC mahu perkataan pariah digugur". Bernama. 15 Jan 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-01-18. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "Palanivel: Interlok not in line with 1Malaysia spirit". The Star. 24 Jan 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "PPP Wilayah gesa haramkan novel Interlok". Utusan Malaysia. 7 Jan 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ Murugiah: Pengadu ugut bakar bukan saya, Utusan Malaysia
- ^ "Jawatankuasa khas kaji novel Interlok". Utusan Malaysia. 7 Jan 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "Malaysia to keep controversial textbook". AFP. 27 Januari 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "Interlok panel optimistic issue may be resolved in a month's time". The Star. 17 Feb 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ Tindakan bakar Interlok dikutuk, Utusan Malaysia
- ^ Gapena dan NGO India terus bantah formula Putrajaya Diarkibkan 2016-03-04 di Wayback Machine, The Malaysian Insider
- ^ "MHS kecewa Interlok dikekalkan". FreeMalaysiakini. 27 Jan 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.[pautan mati kekal]
- ^ "Boycott Interlok panel, Indian reps told". FreeMalaysiaToday. 1 Feb 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-02-08. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "'Pull out now or row goes global'". Free Malaysia Today. 13 Feb 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-02-17. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "Five children among 58 held during Interlok protests". The Star. 14 Feb 2011. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "Demo Interlok: Seramai 109, termasuk Uthaya ditangkap". FreeMalaysiakini. 26 Feb 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-04. Dicapai pada 27 Feb 2011.
- ^ "'Pengunduran' jadi persoalan". Malaysiakini. 17 Mac 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ a b "Salah faham punca 3 panel Interlok keluar mesyuarat". Malaysiakini. 17 Mac 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ "Kemelut Interlok, TPM gagal kata MP". Malaysiakini. 17 Mac 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ a b "19 offensive parts in Interlok edited". Malaysiakini. 25 Mac 2011. Dicapai pada 26 Mac 2011.[pautan mati kekal]
- ^ a b c d e f g Joseph Sipalan (25 Mac 2011). "'Paria' digugurkan dari Interlok, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin". Malaysiakini. Dicapai pada 26 Mac 2011.
- ^ a b c d e f g "19 offensive parts in Interlok edited". The Star. 25 Mac 2011. Dicapai pada 26 Mac 2011.[pautan mati kekal]
- ^ "Interlok: NIAT ancam kerjasama dengan Pakatan". Malaysiakini. 18 Mac 2011. Dicapai pada 26 Mac 2011.
- ^ [1][pautan mati kekal], Berita Harian, 16 Disember 2011. Dicapai pada 17 Disember 2011