Sejarah Itali
Negara Itali yang disatukan pada tahun 1861, banyak menyumbang kepada perkembangan kebudayaan dan sosial di seluruh rantau Mediterranean. Banyak sekali budaya dan tamadun yang wujud sejak zaman prasejarah.
Selepas wilayah ini dikuasai oleh Republik dan Empayar Rom selama berabad-abad lamanya, bangkitnya sebuah bangsa Itali yang membawakan kita sumbangan yang tidak terbilang. Antara sumbangan ini membolehkan perkembangan falsafah, sains dan kesenian Eropah sewaktu Zaman Pertengahan dan Pembaharuan (Renaissance). Setelah didominasi oleh negara kota sepanjang zaman Pertengahan dan Pembaharuan, the semenanjung Itali turut mengalami penguasaan asing. Sesetengah kawasan di Itali diilhakkan dengan empayar-empayar Sepanyol, Austria dan Napoleon, manakala Vatikan tetap menguasai bahagian tengahnya, sebelum seluruh semenanjung akhirnya dibebaskan lalu disatukan dalam banyak pergelutan pada abad ke-19 dan ke-20.
Pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20, iaitu zaman Negara Beraja Itali, negara ini membina sebuah empayar jajahan yang meliputi sesetengah kawasan di Afrika serta negeri-negeri di sepanjang Laut Mediterranean. Itali mengalami kerugian besar dalam Perang Dunia Pertama tetapi akhirnya berada di pihak pemenang. Puak Fasis pimpinan Benito Mussolini mengambil alih tampuk pemerintahan dan menubuhkan pemerintahan diktator yang autoritarian pada tahun 1922-43. Itali merupakan sekutu rendah Jerman Nazi dan Jepun pada Perang Dunia Kedua. Selepas kawasan selatan dibebaskan pada tahun 1943, pejuang Fasis terus berjuang hingga menyerah kalah pada tahun 1945 sebagai "Republik Salò". Itali merupakan medan tempur yang sengit sekali ketika itu.
Pada tahun 1946, ekoran pungutan suara, pemerintahan beraja di Itali dibubarkan,[1] dan pada 2 Jun 1946 lahirnya Republik Itali. Pada 1950-an dan 1960-an, Itali menikmati pemodenan pesat dan pembangunan ekonomi yang wujud selepas tinggalan malapetaka Perang Dunia Kedua. Sejak itu, Itali telah menjadi salah sebuah negara pengasas Komuniti Ekonomi Eropah (kini Kesatuan Eropah), di samping menganggotai PBB, NATO, UNESCO, G7 (kemudian menjadi G8), G20, dan OECD.
Prasejarah dan Rom Purba
suntingKerja-kerja ekskavasi di seluruh Itali membuktikan kehadiran manusia moden yang begitu lama sejak zaman Paleolitik, sekitar 200,000 tahun dahulu.[2] Dari segi kebudayaan dan linguistik, asal-usul sejarah Itali boleh dijejaki seawal-awal abad ke-9 SM, apabila kisah-kisah terawal mentarikhkan kehadiran puak-puak Italik di tengah-tengah Itali moden. Secara linguistik, mereka terdiri daripada Oska, Umbria dan Latin. Lama-kelamaan, kebudayaan Latin menjadi dominan apabila Rom bangkit sebagai kota yang paling berkuasa sekitar tahun 350 SM. Tamadun-tamadun pra-Rom yang pernah menduduki Itali termasuklah Magna Graecia di Itali Selatan dan tamadun Etruska yang mekar sekitar 900 hingga 150 M di rantau Utara Tengah, Lembah Po, Latium dan Campania.[3]
Pada abad ke-17 hingga ke-11 SM, orang Yunani Mycenae menjalin hubungan dengan Itali[4][5][6][7][8][9][10]; pada abad ke-8 dan ke-7 SM, jajahan-jajahan Yunani ditubuhkan di sepanjang pantai Sicily dan kawasan selatan Semenanjung Itali yang dikenali sebagai Magna Graecia. Rom Purba pada awalnya merupakan sebuah komuniti pertanian kecil yang diasaskan sekitar abad ke-8 SM yang membangun sepanjang zaman hingga menjadi empayar gergasi yang meliputi seluruh Laut Mediterranean, di mana kebudayaan Yunani dan Rom bergabung menjadi satu tamadun. Tamadun ini begitu berpengaruh sekali sehingga kesan yang ditinggalkannya masih wujud dan dipakai dalam undang-undang, pentadbiran pusat, falsafah dan seni moden, maka ia telah meninggalkan asas buat seluruh tamadun Barat. Dalam zaman kemerosotan beransur-ansur sejak akhir abad ke-4 Masihi, empayar ini akhirnya berpecah menjadi dua pada tahun 395 M, iaitu: Empayar Rom Barat dan Empayar Rom Timur. Empayar barat yang menerima tekanan orang Goth akhirnya dibubarkan, menyebabkan semenanjung Itali terbahagi kepada negara-negara kecil yang bebas dan negeri-negeri kota yang saling berbalahan selama 1,300 tahun seterusnya, maka tinggal sahaja empayar timur sebagai pewaris tunggal pusaka Rom.
Zaman Pertengahan
suntingPada abad ke-6, Maharaja Byzantium, Justinian menakluki semula Itali daripada puak Ostrogoth, tetapi cubaan baginda untuk menghidupkan semula Empayar Rom Barat dipatahkan oleh sebuah puak Germanik yang baru iaitu orang Lombard, tetapi kegagalan Justinian ini meninggalkan kesan jangka panjang. Selama 13 abad yang kemudian, ketika negara baru didirikan di tanah-tanah di utara banjaran Alps, persada politik Itali berupa cantuman negeri kota, pemerintahan zalim yang kecil-kecilan, dan penceroboh asing yang saling bermusuhan.
Pada zaman kekosongan tampuk pemerintahan inilah kawasan Itali menyaksikan kebangkitan konsep Signoria dan Comune. Dalam keadaan serba anarki yang menguasai negeri-negeri kota Itali ini, rakyat jelata mengharapkan orang kuat untuk memulihkan ketenteraman serta melucutkan senjata golongan bangsawan yang berbalahan. Itali pada zaman ini juga digambarkan oleh republik-republik saudagar. Negeri-negeri kota ini yang sebenarnya diperintah oleh oligarki ini, mempunyai kelas saudagar yang dominan dan menikmati kebebasan relatif yang memupuk kemajuan akademik dan kesenian. Empat Republik Maritim klasik di Itali ialah Venice, Genoa, Pisa dan Amalfi. Venice dan Genoa merupakan pintu masuk Eropah kepada perdagangan dengan negara Timur, khususnya Venice selaku pengeluar kaca venetia yang terkenal. Firenze (Florence) pula merupakan pusat pengeluaran sutera, sakhlat, perbankan dan permata. Republik Maritim ini banyak terlibat dalam Perang Salib, dengan mengambil kesempatan ke atas peluang politik dan perdagangan yang baru, terbukti sekali oleh kempen penaklukan Zara dan Constantinople yang dibiayai oleh Venice.
Zaman Pembaharuan (abad ke-15–16)
suntingWabak Maut Hitam sekitar tahun 1348 meninggalkan kesan di Itali dengan meragut nyawa satu pertiga penduduknya.[11] Bagaimanapun, rantau Itali bangkit juga daripada malapetaka Maut Hitam dan menyaksikan kebangkitan semula kota-kota, kegiatan perdagangan dan ekonomi yang banyak mendorong pergerakan Humanisme dan Zaman Pembaharuan yang terkenal sekali kerana pencapaian kebudayaannya. Kisah kesusasteraan Zaman Pembaharuan biasanya bermula dengan Petrarch (yang dikenang kerana jujukan soneta vernakular yang diperhalusi dengan rapi dalam Canzoniere serta memulakan kegilaan mengumpul buku) dan rakan sebayanya,Boccaccio (pengarang Decameron). Antara pemuisi-pemuisi vernakular terkenal pada abad ke-15 termasuk pengarang-pengarang epik Luigi Pulci (Morgante), Matteo Maria Boiardo(Orlando Innamorato), dan Ludovico Ariosto (Orlando Furioso). Pengarang abad ke-15 seperti pemuisi Poliziano dan ahli falsafah Platonis, Marsilio Ficino menjayakan terjemahan yang menyeluruh daripada sumber-sumber berbahasa Latin dan Yunani. Pada awal abad ke-16,Castiglione (Il Cortegiano) mengemukakan wawasannya akan lelaki dan wanita yang diidamkan, manakala Machiavelli memandang kritis "la verita effetuale delle cose"—kebenaran sebenar tentang perkara—dalam Si Putera, yang dikarang dengan gaya humanisme, terutamanya contoh-contoh Virtù kuno dan moden yang selari. Seni lukis Zaman Pembaharuan Itali meninggalkan pengaruh yang dominan dalm lukisan Eropah yang menyusulinya berabad-abad kemudian (rujuk Seni lukis Barat), dengan tokoh-tokoh seni seperti Giotto di Bondone, Masaccio, Piero della Francesca, Domenico Ghirlandaio, Perugino, Michelangelo, Raphael, Botticelli, Leonardo da Vinci, dan Titian. Begitu juga dengan seni bina yang diamalkan oleh Brunelleschi, Leone Alberti, Andrea Palladio, dan Bramante. Hasil kerja mereka termasuk Gereja Besar Florence, Basilika St. Peter di Rom, dan Tempio Malatestiano di Rimini (antara lainnya, tidak lupa juga banyak kediaman persendirian yang tersergam). Akhirnya, Percetakan Aldine yang diasaskan oleh Aldo Manuzio dan bergiat di Venice, membangunkan taip Condong (italik) dan buku cetakan yang kecil, ringan, murah dan boleh dibawa dalam poket pun, di samping juga menjadi yang pertama untuk menerbitkan buku dalam bahasa Yunani Kuno.
Penguasaan asing dan Perang Napoleon (abad ke-17–19)
suntingSejarah Itali pada zaman Moden Awal disifatkan dengan dominasi kuasa asing. Ekoran Perang Itali (1494 hingga 1559), Itali menikmati zaman kedamaian yang agak lama, mula-mula di bawah naungan Sepanyol Habsburg (1559 – 1713) diikuti oleh Austria Habsburg (1713 – 1796).
Wabak Maut Hitam kembali berulang untuk menghantui Itali sepanjang abad ke-14 hingga ke-17. Wabak tahun 1575–77 meragut lebih kurang 50,000 nyawa di Venice.[12] Pada separuh awal abad ke-17, satu lagi wabak menyebabkan kematian 1,730,000 mangsa, atau sekitar 14% penduduk Itali.[13] Wabak Besar Milan terjadi pada tahun 1629 hingga 1631 di Itali utara, yang mana bandar-bandar Lombardy dan Venice paling teruk terjejas dengan kadar kematian yang tinggi. Pada tahun 1656, wabak itu membunuh lebih kurang separuh daripada 300,000 orang penduduk Naples.[14]
Sewaktu Perang Napoleon, bahagian utara Itali diserang lalu disusun semula sebagai sebuah kerajaan Itali baru yang merupakan negara pelanggan Empayar Perancis mulai tahun 1796 hingga 1814, sementara bahagian selatan semenanjung ditadbir oleh Joachim Murat, adik ipar Napoleon yang ditabalkan sebagai Raja Naples. Kongres Vienna (1814) memulihkan situasi pada akhir abad ke-18, tetapi ini diubah oleh pergerakan penyatuan Itali yang baru bermula.
Penyatuan Itali dan Itali Liberal (1861–1922)
suntingPembentukan Kerajaan Itali merupakan hasil usaha nasionalis dan monarkis Itali yang taat setia kepada Wangsa Savoia untuk menubuhkan sebuah negara bersatu yang meliputi seluruh Semenanjung Itali. Dalam konteks revolusi-revolusi liberal yang melanda Eropah sekitar tahun 1848, Itali mengisytiharkan perang terhadap Austria tetapi tidak berjaya. Giuseppe Garibaldi memimpin pergerakan penyatuan Itali republikan di Itali selatan,[15] sementara Kerajaan Piedmont-Sardinia di Itali utara yang diketuai oleh Camillo Benso, conte di Cavour, bercita-cita untuk mengasaskan sebuah negara Itali bersatu di bawah pemerintahannya. Negara beraja itu berjaya mencabar Empayar Austria dalam Perang Kemerdekaan Itali Kedua dengan bantuan Napoleon III, lantas membebaskan Lombardy-Venetia. Kerajaan tersebut menjadikan Turin sebagai ibu negara baru itu; pada tahun 1865, ibu negara berpindah ke Florence.
Pada tahun 1866, Vittorio Emanuele II menyekutukan negaranya dengan Prusia sewaktu Perang Austria-Prusia, maka tercetusnya Perang Kemerdekaan Itali Ketiga yang membolehkan Itali mengilhakkan Venice. Pada tahun 1870, apabila Perancis meninggalkan kedudukannya di Rom kerana kalah teruk dalam Perang Perancis-Prusia, Itali bergegas untuk mengisi kekosongan kuasa dengan mengambil alih Negeri Kepausan daripada kedaulatan Perancis.
Akhirnya Itali berjaya disatukan, dan tidak lama kemudian ibu negara Itali berpindah dari Florence ke Rom. Sambil memelihara sistem beraja, pemerintahan Itali mengamalkan sistem parlimen yang dikuasai oleh golongan liberal.
Sementara Itali Utara menikmati pengindustrian dan pemodenan pesat, Itali Selatan dan kawasan-kawasan luar bandar di utara masih terpinggir daripada arus pembangunan, sehingga jutaan orang terpaksa berhijrah ke Segi Tiga Perindustrian yang memuncul ataupun ke luar negara. Statut Alberto Sardinia 1848, meluaskan seluruh Kerajaan Itali pada tahun 1861, dan membenarkan kebebasan asas, tetapi undang-undang pilihan raya melarang golongan tidak berharta dan tidak berpendidikan daripada mengundi. Pada tahun 1913, hak mengundi sejagat diberikan kepada kaum lelaki sahaja. Parti Sosialis Itali semakin kuat menyaingi pertubuhan-pertubuhan liberal dan konservatif tradisional. Gelombang penghijrahan keluar dari Itali memuncak pada tahun 1913, apabila 872,598 orang meninggalkan negara itu.[16]
Mulai dua puluh tahun terakhir abad ke-19, Itali bangkit menjadi sebuah kuasa penjajah dengan memaksa Somalia, Eritrea, Libya dan Dodecanese ke bawah pemerintahannya.[17] Ketika Perang Dunia Pertama, Itali pada mula-mulanya berpendirian berkecuali tetapi pada tahun 1915, ia menandatangani Perjanjian London untuk menyertai Pakatan atas janji menerima Trento, Trieste, Gorizia and Gradisca, Istria dan Dalmatia utara dari Empayar Austria-Hungary serta sebahagian wilayah Empayar Uthmaniyyah. Dalam peperangan itu, lebih 650,000 orang askar Itali gugur,[18] dan ekonomi negara pun tumbang. Mengikut Perjanjian-Perjanjian Damai Saint-Germain, Rapallo and Rom, Itali memperoleh sebahagian besar wilayah yang dijanjikan, termasuk pekan Fiume. Walaupun demikian, kemenangan Itali ini disifatkan sebagai “dicacatkan” oleh puak nasionalis, kerana kebanyakan wilayah Dalmatia diberikan kepada Yugoslavia.
Itali Fasis (1922–1945)
suntingPergolakan yang menyusuli kemusnahan Perang Dunia Pertama dan dibangkitkan oleh Revolusi Rusia menyebabkan Itali dalam keadaan porak-peranda dan anarki. Pentadbiran liberal yang bimbang akan revolusi sosialis di negara mulai menyokong Parti Fasis Negara, sebuah parti kecil yang dipimpin oleh Benito Mussolini. Pada Oktober 1922, parti fasis itu cuba merampas kuasa (Marcia su Roma, "Perarakan di Rom") dengan sokongan Raja Vittorio Emanuele III. Pada tahun-tahun berikutnya, Mussolini membentuk pemerintahan diktator dengan melarang semua parti politik lain sambil menindas kebebasan peribadi. Pada tahun 1935, tindakan Mussolini menyerang Habsyah, menyebabkan Itali dipulaukan oleh masyarakat dunia dan terpaksa menarik diri dari Liga Bangsa-Bangsa. Akibatnya, Itali berpakat dengan Jerman Nazi dan Empayar Jepun, serta menyokong kuat Franco dalam Perang Saudara Sepanyol. Pada tahun 1939, Itali menduduki Albania, sebuah negeri naungan de facto selama puluhan tahun, lalu terjebak dalam Perang Dunia Kedua di sisi kuasa Paksi pada tahun 1940. Oleh sebab mendahagakan kemenangan segera seperti Blitzkrieg yang dijayakan oleh Hitler di Poland dan Perancis, kerajaan Mussolini menyerang Greece pada Oktober 1940, tetapi terpaksa akur kepada kebuntuan yang mengaibkan berbulan-bulan kemudian. Pada tahun yang sama, Itali yang awalnya menawan Somalia British dan sebahagian Mesir menerima serangan balas pihak Berikat yang menyebabkan Itali hilang semua taklukannya di Tanduk Afrika dan Afrika Utara.
Kemudian, Itali diserang oleh pihak Berikat pada Julai 1943, menyebabkan rejim Fasis dan Mussolini akhirnya tumbang, dan Itali terpaksa menyerah kalah dua bulan kemudian. Negara ini masih menjadi medan pertempuran hingga akhir perang, kerana pihak Berikat berarak dari selatan ke utara yang menjadi pangkalan angkatan-angkatan yang taat kepada puak fasis Itali dan Nazi Jerman yang juga ditentang oleh gerakan penentangan Itali. Pada 2 Mei 1945, berakhirnya sebuah pertelagahan yang berpanjangan dan menelan hampir separuh juta orang Itali (termasuk orang awam),[19] dan membinasakan seluruh ekonomi Itali; pendapatan per kapita pada tahun 1944 berada di takat terendahnya sejak awal abad ke-20.[20]
Republik Itali (1946–kini)
suntingPada tahun 1946, putera Vittorio Emanuele III, Umberto II, dipaksa turun takhta. Itali menjadi sebuah republik hasil pungutan suara yang diadakan pada 2 Jun 1946, tarikh keramat yang kini diraikan sebagai Hari Republik. Ini juga kali pertama kaum wanita Itali diberi hak mengundi.[21] Perlembagaan Republik diluluskan dan berkuatkuasa pada 1 Januari 1948. Mengikut Perjanjian Damai Paris pada tahun 1947, sempadan timur diserahkan kepada Yugoslavia; kemudian, republik bebas Trieste dibahagikan antara kedua-dua negara berkenaan.
Kebimbangan para pengundi Itali akan rampasan kuasa Komunis terbukti penting buat keputusan pilihan raya hak mengundi sejagat sepenuhnya yang pertama pada 18 April 1948, apabila parti Demokrat Kristian pimpinan Alcide De Gasperi memenangi pilihan raya itu dengan 48% undian. Pada 1950-an, Itali menganggotai NATO dan bersekutu dengan Amerika Syarikat. Rancangan Marshall membantu memulihkan ekonomi Itali supaya menikmati “Keajaiban Ekonomi” yang pesat membangun hingga 1960-an. Pada tahun 1957, Itali merupakan anggota pengasas Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), yang menjadi Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 1993.
Sejak akhir 1960-an hingga akhir 1980-an, negara ini mengharungi krisis ekonomi yang teruk dan “Zaman Timah Hitam” yang disifatkan oleh konflik sosial yang berleluasa dan kegiatan pengganas yang dijalankan oleh gerakan luar parlimen. Zaman Timah Hitam memuncak dengan pembunuhan ketua parti Demokrasi Kristian, Aldo Moro pada tahun 1978, maka berakhirnya “Kata Sepakat Bersejarah” antara parti Demokrasi Kristian dan Parti Komunis Itali. Pada 1980-an, buat kali pertama sejak tahun 1945, Itali dipimpin oleh perdana menteri bukan Demokrasi Kristian, iaitu seorang republikan (Giovanni Spadolini) dan seorang sosialis (Bettino Craxi); namun begitu, parti Demokrasi Kristian kekal sebagai kuasa utama yang menyokong kerajaan. Parti Sosialis Itali (PSI) pimpinan Bettino Craxi makin hari makin memandang serong Komunis dan Kesatuan Soviet, sehingga beliau menyokong tindakan Presiden AS, Ronald Reagan meletakkan misil Pershing di Itali yang ditentang hebat oleh Parti Komunis.
Pada tahun 1992 hingga 1994, Itali berdepan dengan cabaran getir kerana para pengundi yang kecewa dengan kelumpuhan politik masa lalu, hutang kerajaan keliling pinggang dan gejala korupsi yang berleluasa yang bergelar Tangentopoli setelah didedahkan oleh siasatan ‘Tangan Bersih’), maka mereka menuntut pembaharuan politik, ekonomi dan etika. Skandal-skandal ini melibatkan semua parti besar, khususnya parti campuran pemerintah: pada tahun 1992 hingga 1994,Demokrat Kristian mengalami krisis yang parah lalu terpaksa dibubarkan dan berpecah kepada beberapa parti kecil, begitu juga dengan Parti Sosialis Itali dan parti-parti kecil yang menyertai campuran itu. Parti Komunis disusun semula sebagai sebuah parti demokrasi sosial.
Pilihan raya 1994 menjulang Silvio Berlusconi sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, beliau terpaksa mengundurkan diri pada Disember tahun itu apabila Parti Lega Nord menarik balik sokongannya. Pada April 1996, pilihan raya kebangsaan berpihak kepada parti campuran berhaluan kiri-tengah pimpinan Romano Prodi. Kerajaan pertama Prodi adalah yang ketiga paling lama berkuasa sebelum beliau kalah dalam undian percaya pada Oktober 1998. Kerajaan baru dibentuk oleh Massimo D'Alema, tetapi beliau meletak jawatan pada April 2000.
Pada tahun 2001, pilihan raya kebangsaan memihak kepada parti campuran berhaluan kanan-tengah pimpinan Silvio Berlusconi yang kembali menyandang jawatan Perdana Menteri. Berlusconi dapat mempertahankan kuasanya sepanjang mandat lima tahun selengkapnya, tetapi dengan dua tempoh pemerintahan yang berasingan. Yang pertama (2001–2005) merupakan kerajaan yang paling lama bertahan di Itali pasca-perang. Di bawah kepimpinan itu, Itali menyertai pakatan tentera yanf diketuai oleh AS di Iraq. Pilihan raya 2006 dimenangi oleh haluan kiri tengah dan membuka laluan Prodi untuk membentuk kerajaan kedua, tetapi pada awal tahun 2008, Prodi meletak jawatan setelah kalah dalam undian percaya di Parlimen. Berlusconi memenangi pilihan raya April 2008 untuk membentuk kerajaan buat kali ketiga.
Berlusconi meletak jawatan pada 2011 dan digantikan oleh Mario Monti. Selepas pilihan raya pada 2013, Naib Setiausaha Parti Demokratik, Enrico Letta membentuk kerajaan baharu.[22] Pada tahun berikutnya, Letta meletak jawatan selepas dicabar oleh setiausaha baharu partinya, Matteo Renzi, menjadikan Renzi sebagai ketua kerajaan baharu. Kerajaan beliau ingin melaksanakan pembaharuan terhadap perlembagaan Itali seperti pemansuhan Senat, tetapi ditolak pada 4 Disember. Renzi meletak jawatan dan Paolo Gentiloni, Menteri Luar Negeri dilantik sebagai Perdana Menteri.[23]
Krisis pelarian di Eropah pada 2010-an membawa kepada peralihan sokongan rakyat Itali kepada politik berhaluan kanan jauh.[24][25] Pada pilihan raya 2018, Giuseppe Conte dilantik sebagai Perdana Menteri sebagai ketua pakatan populis Five Star Movement dan Lega Nord,[26] meskipun Lega Nord berhenti menyokong Conte 18 bulan kemudian.
Pada Mac 2020, Itali menerima kesan yang teruk akibat pandemik COVID-19. Conte melaksanakan sebuah perintah kuarantin di seluruh negara untuk mengekang wabak besar yang melanda Itali.[27][28] Pada bulan itu, Itali mengatasi jumlah kematian pandemik COVID-19 di China, negara asal wabak dan menjadi negara yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat pandemik tersebut.[29]
Peta perkembangan sejarah Itali
sunting-
Itali Zaman Besi
-
Tamadun Etruska 1200-550 SM
-
Itali pada 400 SM
-
Magna Graecia sekitar 280 SM
-
Negara Rom di Itali
-
Keluasan terbesar Empayar Rom
-
Duci Benevento di Lombard pada abad ke-8 Masihi
-
Itali 1000 M
-
Itali 1050 M
-
Itali dan Illyria 1084 M
-
Itali 1328 M
-
Duci Milan 1400 M
-
Itali 1494 M
-
Savoy abad ke-16 (garis putih menandakan sempadan moden)
-
Itali 1796 M
-
Itali Utara 1796 M. Duci-duci Milan, Mantua, dan Modena dan Reggio digabungkan menjadi Republik Cisalpina, dis samping Perwakilan Paus dan beberapa bahagian Novara dan Republik Venice.
-
Duci Modena dan Reggio abad ke-19.
-
Itali 1810 M
-
Penyatuan Itali 1815-1870 M
-
Kerajaan Lombardy–Venetia 1815–1866 M
-
Itali 1859 M
-
Wilayah Bersatu Itali Tengah (1859–60 M).
-
Itali 1860 M
-
Kerajaan Itali 1861 M
-
Kerajaan Itali 1870 M
-
Venezia in 1888 M
-
Kerajaan Itali 1919 M
-
Empayar Itali 1940 M, perhatikan peluasan ke Dalmatia
-
Peta kawasan Mediterranean Itali pada musim panas 1942 M
Rujukan
sunting- ^ "History of ITALY". Historyworld.net. Dicapai pada 2010-04-24.
- ^ Kluwer Academic/Plenum Publishers 2001, ch. 2. ISBN 0-306-46463-2.
- ^ The topic of the "League of Etruria" is covered in Freeman, pages 562-565. The league in northern Italy is mentioned in Livy, Book V, Section 33. The passage also identifies the Raetii as a remnant of the 12 cities "beyond the Apennines." The Campanian Etruscans are mentioned (among many sources) by Polybius, (II.17). The entire subject with complete ancient sources in footnotes was worked up by George Dennis in his Introduction. In the LacusCurtius transcription, the references in Dennis's footnotes link to the texts in English or Latin; the reader may also find the English of some of them on WikiSource or other Internet sites. As the work has already been done by Dennis and Thayer, the complete work-up is not repeated here.
- ^ The Mycenaeans and Italy: the archaeological and archaeometric ceramic evidence Diarkibkan 2009-08-22 di Wayback Machine, University of Glasgow, Department of Archaeology
- ^ Emilio Peruzzi, Mycenaeans in early Latium, (Incunabula Graeca 75), Edizioni dell'Ateneo & Bizzarri, Roma, 1980
- ^ Lord William Taylour, Mycenaean Pottery in Italy and Adjacent Areas (Cambridge 1958)
- ^ Gert Jan van Wijngaarden,Use and Appreciation of Mycenaean Pottery in the Levant, Cyprus and Italy (1600-1200 B.C.): The Significance of Context, Amsterdam Archaeological Studies, Amsterdam University Press, 2001
- ^ Andrea Vianello, Late Bronze Age Mycenaean and Italic Products in the West Mediterranean: A Social and Economic Analysis, (British Archaeological Reports International Series), British Archaeological Reports
- ^ Miriam S. Balmuth, Robert J. Rowland, Studies in Sardinian archaeology, University of Michigan Press, 1984
- ^ Bryan Feuer, Mycenaean civilization: an annotated bibliography through 2002, McFarland & Company; Rev Sub edition (2 Mac 2004)
- ^ Stéphane Barry and Norbert Gualde, "The Biggest Epidemics of History" (La plus grande épidémie de l'histoire, in L'Histoire n°310, June 2006, pp.45–46
- ^ History of Plague, Texas Department of State Health Services
- ^ Karl Julius Beloch, Bevölkerungsgeschichte Italiens, volume 3, pp. 359–360.
- ^ "Naples in the 1600s". Faculty.ed.umuc.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-20. Dicapai pada 3 November 2008.
- ^ (Mack Smith, Denis (1997). Modern Italy; A Political History. Ann Arbor: The University of Michigan Press. ISBN 0-472-10895-6, p. 15.
- ^ Monticelli, Giuseppe Lucrezio (Summer, 1967). "Italian Emigration: Basic Characteristic and Trends with Special Reference to the Last Twenty Years". International Migration Review. The Center for Migration Studies of New York, Inc. 1 (3, Special issue, The Italian Experience in Emigration): 10–24. doi:10.2307/3002737. JSTOR 3002737. ISSN 01979183. Check date values in:
|date=
(bantuan) - ^ (Bosworth (2005), pp. 49.)
- ^ Mortara, G (1925). La Salute pubblica in Italia durante e dopo la Guerra. New Haven: Yale University Press.
- ^ "Italy". Encyclopædia Britannica.
- ^ Adrian Lyttelton (editor), "Liberal and fascist Italy, 1900–1945", Oxford University Press, 2002. pp. 13
- ^ (Itali)Italia 1946: le donne al voto, dossier a cura di Mariachiara Fugazza e Silvia Cassamagnaghi
- ^ Hooper, John (16 November 2011). "Mario Monti appoints technocrats to steer Italy out of economic crisis". The Guardian. Dicapai pada 19 March 2020.
- ^ "New Italian PM Paolo Gentiloni sworn in". BBC News. 12 Disember 2016. Dicapai pada 19 Mac 2020.
- ^ "Italy starts to show the strains of migrant influx". The Local. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 April 2017. Dicapai pada 10 Januari 2017.
- ^ "Italy's far right jolts back from dead". Politico. 3 February 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 January 2017. Dicapai pada 10 Januari 2017.
- ^ "Opinion – The Populists Take Rome". 24 Mei 2018. Dicapai pada 2 Jun 2018 – melalui NYTimes.com.
- ^ "Italy extends emergency measures nationwide".
- ^ Beaumont, Peter; Sample, Ian (2020-03-10). "From confidence to quarantine: how coronavirus swept Italy". The Guardian (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0261-3077. Dicapai pada 2020-03-12.
- ^ Ellyatt, Holly (19 March 2020). "Italy's lockdown will be extended, prime minister says as death toll spikes and hospitals struggle". CNBC. Dicapai pada 19 March 2020.